
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Negeri Perlis sekali lagi melakar sejarah apabila bakal terbinanya sebuah lagi institusi pengajian
tinggi yang berprestij iaitu Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI ) dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2028.

Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan beritah di Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation InstItute di Dewan Warisan Kangar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek universiti tersebut yang kini berada pada fasa akhir peringkat reka bentuk akan dilaksanakan secara reka dan bina dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai agensi pelanggan.
“Saya melihat penubuhan UniKL-ASTI merupakan satu langkah strategik yang sangat bermakna bukan sahaja untuk Negeri Perlis, malah untuk landskap pendidikan dan logistik negara secara keseluruhan,” ujarnya.
Zahid berkata demikian ketika di Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan UNIKL ASTI, Lembah Chuping, Padang Besar, yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Dewan Warisan Kangar, di sini kelmarin.
Turut berangkat hadir Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
UniKL-ASTI akan menjadi komponen penting dalam ekosistem pembangunan logistik serantau di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), menjadikan Perlis sebagai hab logistik strategik baharu di utara tanah air.

Antara tetamu jemputan yang hadir di majlis tersebut.
Dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar bersebelahan Perlis Inland Port (PIP), kampus ini bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkasa pendidikan tinggi teknikal berasaskan pengangkutan dan logistik mapan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan pelbagai program akan ditawarkan di universiti tersebut seperti diploma dan ijazah dalam bidang-bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi seperti heavy vehicle maintenance technology, lifting equipment management dan teknologi pelaksanaan penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO).
“Insya-Allah, pembinaan fizikal universiti ini akan dimulakan sejurus selepas majlis pecah tanah pada hari ini (Isnin) dan infrastruktur baharu ini akan memangkin pelaksanaan projek mega Perlis Inland Port (PIP), yang dijangka menjadi pemacu utama pergerakan kargo rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, dengan nilai dagangan dianggarkan mencecah USD30 bilion (RM132 bilion) menjelang tahun 2027,” katanya.
-RI