
Laporan/foto: Florinah Lunsin/Manjin Arak (Kudat)
KUDAT, 08 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat kerjasama dan tanggungjawab terhadap kebersihan terus disemai melalui penganjuran Program Jiwa@Komuniti MADANI yang melibatkan penduduk pelbagai lapisan di Kampung Gumpa, di sini.

Ismail Gapak menyampaikan ucapan sempena majlis doa kesyukuran awal dan akhir tahun bersempena Sambutan Maal Hijrah di Kampung Gumpa.
Program gotong-royong yang diadakan pada Ahad itu turut disertai dengan majlis doa kesyukuran sempena Maal Hijrah serta cabutan bertuah, sekali gus menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Pengerusi Komuniti Era Madani, Ismail Gapak berkata, aktiviti yang dilaksanakan menerusi Program Jiwa@Komuniti MADANI ini perlu diteruskan kerana memberi impak besar terhadap kebersihan sekitar dan kesihatan awam.

Penduduk kampung khusyuk mengikuti majlis doa kesyukuran sempena Sambutan Maal Hijrah.
“Aktiviti seperti ini wajar diteruskan kerana mampu membentuk komuniti yang cakna terhadap kebersihan dan mencegah penularan penyakit bawaan persekitaran.
“Harapan saya agar inisiatif ini dijadikan amalan berterusan demi kesejahteraan penduduk Kampung Gumpa,” ujarnya.

Sainah Nunung berkongsi pandangan positif selepas program gotong-royong dijalankan, kelmarin.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Sainah Nunung, 62, menyambut baik usaha tersebut dan berharap program seperti itu dapat dijadikan acara berkala dalam kalendar komuniti kampung.
“Saya berasa senang hati melihat penduduk kampung begitu bersemangat bergotong-royong dan saya harap agar program ini dapat diteruskan secara berterusan dan setiap program yang dianjurkan mendapat sambutan yang baik,” ujarnya.
Program ini menjadi platform berkesan dalam menyemai nilai MADANI, memperkukuh semangat kebersamaan dan memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat setempat.
-RJ-