
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Dexter Cysonned (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 09 Jul (MalaysiaAktif) – Dikenali sebagai “Gadis Turbo”, atlet pecut negara, Nur Aisyah Rofina Aling, membuktikan gelaran tersebut bukan sekadar nama tetapi lambang kepada usaha dan dedikasi beliau dalam dunia sukan.
Anak kelahiran Sandakan berusia 26 tahun itu berkata, minatnya terhadap sukan olahraga menerusi acara balapan bermula sejak bangku sekolah rendah dengan menyertai secara aktif di setiap kejohanan sukan sekolah.

Gadis Turbo dari Sandakan – Dari trek sekolah ke pentas dunia. Saksikan inspirasi Nur Aisyah Rofina di iNSPOJAPEN
Jelasnya, komitmen dan dorongan berterusan daripada warga pendidik mencipta batu loncatan kepada beliau untuk berada di atas podium emas mewakili Malaysia semalam.
“Cikgu saya yang mula-mula mendorong untuk menyertai sukan sekolah. Dari situlah minat saya bermula dan saya semakin aktif. Berikutan sokongan berterusan daripada guru dan keluarga, prestasi saya pula mula menonjol ketika di sekolah menengah.
“Sokongan merekalah yang menjadi pemangkin semangat saya untuk terus maju hingga ke tahap sekarang dan bagi saya, gelaran gadis turbo itu sebenarnya beri motivasi untuk saya terus buat yang terbaik, bersemangat dan lebih yakin setiap kali turun ke trek,” katanya ketika ditemubual dalam program iNSPO Jabatan Penerangan Sabah, di sini pada Selasa.
Pada Jun lepas, Nur Aisyah meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Thailand dan menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar berkat latihan intensif yang dilalui selama ini biarpun terpaksa menangguhkan pengajian suatu Ketika dahulu.
“Saya tangguh pengajian sebab mahu fokus pada sukan. Namun syukur, saya sudah berjaya tamatkan pengajian juga, walaupun lambat setahun. Tahun 2023 ada banyak kejohanan besar, termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

Nur Aisyah ketika sesi temu bual dalam program iNSPO@JAPENSabah, semalam.
“Jadi saya pilih untuk beri tumpuan penuh kepada latihan dan pertandingan. Memang sukar, tapi saya percaya, kalau kita usaha dan fokus, kita akan capai sesuatu yang berbaloi,” jelasnya.
Berkongsi tip latihan, aspek visualisasi dan tumpuan antara disiplin Latihan yang beliau perlu lalui selain meningkatkan fokus terhadap “reaction time” atau pecutan awal dalam setiap larian.
“Setiap petang kami memang ada latihan. Kami guna struktur ‘high-low training’ untuk imbangkan intensiti. Untuk kejohanan Thailand, jurulatih lebih fokus pada ‘reaction time’ dan ‘acceleration’ saya.
“Bahagian 20 hingga 30 meter pertama itu memang penting dan saya juga amalkan teknik visualisasi sebelum pertandingan, supaya saya lebih fokus dan tenang semasa berada di blok permulaan.
“Kepada golongan muda, teruslah berusaha mengejar cita-cita anda, walau apa pun cabaran mendatang. Percaya dengan proses, disiplin, jangan mudah putus asa dan jangan jemu berdoa,” ujarnya.
-RJ-