
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Tawau terus membuktikan kemampuannya sebagai pusat pembangunan sukan dengan penganjuran Seminar dan Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025/2026.
Seminar tersebut dianjurkan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) melibatkan seramai 36 bakal pengadil bertauliah dari seluruh negeri.

Sekitar suasana sepanjang seminar dan ujian kecergasan anjuran bersama FAM dan MFL yang berlangsung di Tawau, kelmarin.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal menyifatkan seminar berkenaan pengiktirafan terhadap potensi Sabah dalam melahirkan pengadil dan atlet berkualiti.
“Saya amat berbangga apabila Tawau dipilih sebagai lokasi seminar ini. Ia bukan sekadar simbol kepercayaan, malah pembakar semangat kepada bakat-bakat muda kita yang semakin menyerlah di peringkat kebangsaan.
“Kita bangga ada jurulatih wanita dari Tawau yang kini berjaya di peringkat kebangsaan. Ini satu inspirasi besar kepada peserta lain,” katanya semasa merasmikan seminar tersebut di sini pada Rabu.

Rina ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar dan Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025/2026.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina menegaskan perlunya penambahbaikan infrastruktur sukan, khususnya padang latihan dan fasiliti asas yang masih jauh ketinggalan khasnya di Tawau.
“Kerajaan negeri tidak boleh bersendirian. Kita harap FAM dan agensi pusat dapat membantu menaik taraf padang-padang di kawasan seperti Tawau,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha menyatakan bahawa Sabah mencatat peningkatan ketara dalam penyertaan pengadil baharu, dari hanya sekitar 15 orang tahun sebelumnya kepada 36 orang pada tahun ini.

Rina menerima cenderamata daripada Kassim.
“Kita juga melatih empat pengadil wanita, tiga daripadanya tidak dapat hadir kali ini kerana sedang menduduki peperiksaan di universiti. Tapi mereka akan diberi peluang pada sesi seterusnya.
“FAM telah melantik Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri dan akan terus menghantar tenaga pengajar berpengalaman untuk memantau dan membentuk pengadil yang berintegriti tinggi.
“Integriti adalah keutamaan. Pengadil akan dipantau dari peringkat awal dan dinilai berdasarkan ‘Law of the Game’ yang ditetapkan FIFA,” ujarnya.
-RJ-