
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Sekadar niat untuk menjaga kesihatan, bertukar menjadi sumber rezeki baharu apabila seorang usahawan berjaya mengembangkan perniagaan air minuman alkali dengan bantuan mesin pelekat label daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Mesin pelekat label yang diterima daripada bantuan MARA.
Berkelulusan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Rosmawani Aziz, 54, bermula dengan usahawan kerepek di Anggerik Mall Shah Alam, namun minatnya terhadap kesihatan dan keinginan untuk membantu keluarga kekal sihat mendorong beliau menceburi perniagaan yang juga dikenali air kangen sejak tahun 2021.
“Saya mulanya minum air kangen untuk kegunaan sendiri, suami saya yang membeli mesin tersebut katanya air ini bagus untuk kesihatan, memang betul, bila saya minum, badan rasa kurang letih walaupun buat kerja rumah,” katanya ditemui semalam di Kangen Centre miliknya di Anggerik Mall Shah Alam.
Melihat kesan positif air kangen terhadap kesihatan diri dan keluarganya, beliau mengambil keputusan untuk menjual mesin Kangen dan air botol beralkali dengan membuka Kangen Centrepada Julai 2021 .
Namun, cabaran besar yang dihadapinya adalah untuk melabel 600 air botol setiap hari secara manual merupakan satu tugas yang mengambil masa yang lama.

Rosmawani bersama air minuman keluarannya yang dijual di sekitar Shah Alam.
Segalanya berubah apabila beliau menerima bantuan daripada MARA menerusi program Advanced Technology Entrepreneur Development Programme (ADAPT) berupa mesin pelekat label yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan kecekapan operasinya.
“Dulu, saya terpaksa isi botol satu per satu, sangat memenatkan dan mengambil masa yang lama, Alhamdulilah dengan bantuan mesin daripada MARA yang saya terima pada tahun ini, kerja saya jadi lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Saya percaya selagi ada usaha, selagi ada semangat, kita boleh capai apa saja dalam hidup ini,” katanya.
-RI





