Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pekan Cina Alor Setar Kekal Jadi Lokasi Warisan, Tumpuan Pelancong

By 14 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)

ALOR SETAR, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, Pekan Cina kekal menjadi salah satu lokasi ikonik yang menyimpan seribu satu kisah sejarah dan kebudayaan.

Deretan kedai di Pekan Cina.

Dengan seni bina lama yang masih terpelihara dan suasana klasik yang memikat, kawasan ini menjadi tarikan utama bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah pelancong dalam dan luar negara.

Pekan Cina, yang mula dibangunkan pada awal abad ke-20, merupakan kawasan penempatan awal komuniti Cina di Alor Setar.

Bangunan kedai dua tingkat dengan rekaan kolonial yang tersusun rapi masih kekal berdiri kukuh, menggambarkan kekayaan warisan dan sejarah bandar ini.

Pekan Cina juga terkenal dengan pelbagai kedai makan tradisional yang menyajikan juadah tempatan seperti mi kicap, kuih-muih Cina serta kopi kampung yang menjadi pilihan ramai.

Tidak ketinggalan, kedai-kedai kraf tangan dan barangan antik turut menghiasi deretan kedai lama di sepanjang jalan.

Bagi seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Norashikin Zainal, 41, kunjungan ke Pekan Cina membuka matanya terhadap keunikan budaya pelbagai kaum di Kedah.

Suasana di Tanjung Chali bersebelahan Pekan Cina.

“Saya teruja melihat bagaimana penduduk di sini masih mengekalkan tradisi lama.

“Ia satu pengalaman yang tidak boleh didapati di tempat lain,” katanya, di sini semalam.

Pekan Cina bukan sahaja lambang keharmonian kaum di Alor Setar, malah menjadi bukti bahawa sejarah dan warisan tempatan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan.

-RI

Tinggalkan komen anda