
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI – Sembang Santai di Perpustakaan Kampung Belakang Pekan, Sungai Kechil Ilir, di sini semalam menonjolkan peranan aktif wanita dalam menggerakkan usaha komuniti, khususnya menerusi penglibatan Skuad Aktivis Wanita Prihatin Sungai Kechil Ilir (SKI).

Bubur Asyura telah siap di masak dan akan diedarkan kepada penduduk sekitar.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Serdang Khairul Bahar Hashim, kehadiran dan kerjasama erat skuad wanita itu telah memberi suntikan tenaga dalam menjayakan pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan dan kenegaraan.
“Peranan wanita sebagai tulang belakang komuniti terbukti melalui komitmen mereka hari ini,” ujarnya.
Antara aktiviti utama kendalian SKI ialah gotong-royong memasak bubur Asyura yang berjaya mengumpulkan masyarakat pelbagai lapisan dalam suasana harmoni dan muafakat.
Bagi Nor Kamarina Ahmad Zabidi, 37, penyertaan aktif skuad wanita dalam program ini sangat memberi kesan.
“Bukan sekadar memasak, tetapi kami juga menyampaikan mesej kesedaran dan perpaduan kepada penduduk,” katanya.

Khairul sentiasa menjadi tulang belakang dan pendorong dalam setiap program kemasyarakatan bersama komuniti.
Program turut diisi perkongsian maklumat oleh Pejabat Penerangan Daerah Bandar Baharu berkaitan jenayah penipuan dalam talian (scammer), hebahan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 serta kepentingan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara.
Kerjasama dengan Perpustakaan Desa Kampung Belakang Pekan turut memperkukuh peranan institusi setempat dalam menyemai budaya ilmu dan literasi di samping memperkukuh jaringan maklumat berasaskan komuniti.
Penglibatan aktif wanita dalam program seperti ini membuktikan bahawa mereka bukan sahaja pendokong keluarga, malah pemacu perubahan di peringkat akar umbi yang benar-benar menjelmakan semangat ‘Wanita Penggerak, Komuniti Terikat’.
-RI





