Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Projek Tanaman Nanas : Program Agrobelia Lestari Pertama di Daerah Pendang

By 15 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah berjaya menganjurkan Program Agrobelia Lestari selama dua hari bermula semalam.

Sesi taklimat dan teori mengenai Teknologi Pengurusan Tanaman Nanas di Dewan Cenderawasih semalam.

Pelaksanaan program ini merupakan inisiatif untuk mempromosikan serta mengupayakan potensi belia dalam bidang pertanian yang memberi fokus kepada penglibatan golongan sasar belia seperti pertubuhan belia, belia massa, belia Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Program dengan pengisian latihan berkemahiran ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan keterlibatan belia dalam bidang pertanian, menyerlahkan potensi belia dalam bidang pertanian melalui perkumpulan belia serta membantu belia menjana pendapatan melalui bidang pertanian.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pendang Nor Azlan Zainal ketika ditemui hari ini, berkata bahawa program ini bukan sahaja untuk mempromosikan dan mengembangkan perusahaan produk pertanian, malah dapat meningkatkan keyakinan belia dalam mengurus projek-projek pertanian.

“Objektif kita adalah untuk membina keyakinan dan memberi mereka kemahiran sebenar dalam mengurus projek-projek pertanian kerana kebanyakan golongan muda tidak yakin serta tidak berani mengambil risiko untuk menceburi bidang ini,” ujarnya.

Taklimat dan sesi teori berkaitan Teknologi Pengurusan Tanaman Nanas yang diadakan pada sesi pertama bertempat di Dewan Cenderawasih, Pendang semalam telah disampaikan oleh Pegawai LPNM Kedah Perlis, Samsuri Ibrahim.

Projek Tanaman Nanas di Kebun Haji Jamel, Kampung Paya Rawa.

Samsuri dalam taklimatnya telah menekankan kepentingan penggunaan kaedah moden dan lestari dalam pengurusan ladang nanas bagi memastikan hasil yang lebih berkualiti dan berdaya saing.

“Nanas merupakan antara tanaman yang mempunyai permintaan tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan dengan betul dengan menggunakan kaedah penanaman yang teratur serta mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi,” ujarnya.

Program yang menyasarkan golongan belia berumur antara 13 hingga 40 tahun ini diteruskan dengan sesi kedua iaitu sesi praktikal penanaman nanas yang telah diadakan di Kebun Haji Jamel, Kampung Paya Rawa, di sini hari ini di mana para peserta diberi peluang untuk melihat dan mencuba sendiri kaedah penyediaan tanah, teknik penanaman benih nanas serta langkah-langkah penjagaan awal tanaman.

Turut hadir memantau pelaksanaan program ialah Pegawai Pertanian Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara Azlina Mohd Hanapiah.

-RI

Tinggalkan komen anda