
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 18 Jul (MalaysiaAktif) –Seramai 126 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kejadian banjir di Nabawan pada April lalu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan bagi meringankan beban pasca bencana.
Bantuan yang diagihkan dalam bentuk tunai itu disampaikan dalam satu majlis di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Abdul Ghani ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI)di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan masyarakat pedalaman terus terpelihara.
“Penyerahan bantuan kepada mangsa banjir yang berlangsung hari ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan masyarakat pedalaman terpelihara, terutamanya apabila berdepan dengan bencana alam yang jarang berlaku sebelum ini.
“Saya sedar bantuan ini mungkin tidak mampu menggantikan sepenuhnya kerugian yang dialami, namun diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Selasa.

Mohammad Aing menunjukkan replika cek bantuan BWI yang diterimanya.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani menekankan kepentingan kerja penyelenggaraan sungai dan sistem saliran sebagai langkah mitigasi banjir jangka panjang.
“Cadangan termasuk kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan sungai serta pembinaan tebing di kawasan berisiko, selain penyelenggaraan berkala terhadap parit dan anak sungai di kawasan kediaman,” jelasnya.
Sementara itu, Mohammad Aing, 39, dari Kampung Bahagia menyifatkan bantuan yang diterima bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menyuntik semangat untuk bangkit semula.
“Bantuan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana. Ia amat bermakna, terutama dalam usaha kami untuk menggantikan peralatan elektrik yang rosak serta memulakan semula rutin harian dengan lebih selesa,” katanya.

Buntiyu Mandulun (tengah) mengikuti sesi semakan nama penerima Bantuan BWI.
Bagi seorang lagi penerima dari Kampung Indah, Buntiyu Mandulun, 63, pelaksanaan BWI disifatkan sebagai cekap dan teratur.
“Semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), proses pendaftaran bantuan dipermudahkan dengan kerjasama JKM dan APM. Pendekatan ini telah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem penyampaian bantuan kerajaan yang lebih tersusun dan menyeluruh,” ujarnya.
Untuk rekod, kejadian banjir yang melanda lebih 30 kampung di daerah ini telah menyebabkan kerosakan harta benda dan kediaman, serta mengganggu kehidupan harian penduduk yang terjejas.
-RJ-





