
Laporan/foto: Khairul Azad (Labuan)/KPDN Labuan
LABUAN, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Tiada kenaikan harga barangan dikesan di Labuan setakat ini selepas pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Junaidah (paling kiri) semasa meninjau harga barangan dalam Ops Kesan 4.0 di salah satu pasar raya di Labuan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan Junaidah Arbain berkata ia hasil pemeriksaan awal dijalankan pihaknya.
“KPDN Labuan ada menerima satu aduan kenaikkan harga barang pada 1 Julai lalu namun setelah siasatan dijalankan mendapati tidak berlaku unsur pencatutan dan kenaikkan bukan disebabkan caj SST,” katanya selepas meninjau pemeriksaan penguatkuasaan Op Kesan 4.0 di dua pasar raya terkemuka, di sini pagi tadi.
Jelasnya, Op Kesan 4.0 dijalankan oleh KPDN di seluruh negara bermula 1 Julai lalu bertujuan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa asas yang munasabah atau melakukan pencatutan berasaskan pelaksanaan SST pada hari yang sama sebagai alasan.
“Berdasarkan statistik, bermula 1 Julai hingga hari ini, penguat kuasa KPDN Labuan telah memeriksa sebanyak 850 premis perniagaan di sekitar pulau ini dan sebanyak 26 notis pengesahan maklumat barang di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] telah dikeluarkan melibatkan 123 jenis barangan (Stock Keeping Unit – SKU).

Pemantauan secara berterusan di bawah peruntukan Akta 723 akan diteruskan KPDN dari masa ke masa.
“Di samping itu, tindakan susulan penguatkuasaan terhadap sebarang maklumat berkaitan pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan akan melibatkan penelitian kepada empat elemen utama iaitu senarai barangan dan bentuk perkhidmatan, senarai perniagaan dan syarikat berdaftar, tarikh pendaftaran dan pergerakan harga atau caj dan margin pergerakan serta pencatutan,” jelasnya.
Tambahnya, pasukan penguat kuasa akan sentiasa digerakkan untuk menjalankan pemantauan secara berterusan di bawah peruntukan Akta 723 dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah serta bertentangan dengan undang-undang pencatutan.
-RI






