Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bagan Datuk Rancakkan Sektor Pertanian Negeri Perak

By 18 Julai 2025Julai 19th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Daerah Bagan Datuk terus memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pertanian di negeri Perak melalui pengeluaran produk pertanian berasaskan tanaman kelapa dan pisang.

Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Shahril Sabri berkata kejayaan itu disokong melalui penanaman kelapa di kawasan seluas 6,714 hektar dan penanaman pisang seluas 467 hektar dalam daerah berkenaan.

Benih anak pokok antara produk yang mendapat tumpuan pengunjung.

“Paling membanggakan, sehingga kini daerah ini telah menyumbang hampir 90 peratus pengeluaran kelapa di Perak dan muncul sebagai pengeluar ketiga terbesar di Malaysia selepas Selangor dan Johor, dengan pencapaian Kadar Sara Diri (SSL) melebihi 141 peratus.

“Potensi ini turut membuka peluang kepada pelbagai perusahaan berasaskan kelapa, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Bagan Datuk 2025 di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bagan Datuk Nazrul Fazami Mohamad yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran karnival berkenaan.

Antara peserta yang hadir dalam Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Bagan Datuk 2025.

“Karnival bertemakan Kelapa Pemacu Ekonomi Kampung bukan sahaja meraikan kejayaan usahawan tani tempatan, tetapi juga berfungsi sebagai platform pengembangan teknologi serta pemindahan ilmu kepada para petani.

“Diharapkan Jabatan Pertanian Negeri Perak akan terus melaksanakan pendekatan pengembangan yang lebih menyeluruh, responsif dan inklusif. Usaha ini harus menekankan kepada pemerkasaan komuniti tani luar bandar dalam memperkukuh keupayaan serta meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti pertanian yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Turut hadir Orang Besar Jajahan Bagan Datuk Toh Seri Lela Paduka Datuk Dr. Khalid Ismail dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Khairuddin Tarmizi.

-RI

Tinggalkan komen anda