Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Pacu Aspirasi Harmoni dalam Kepelbagaian

By 19 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Dhariishene Sivanathan

BATU KAWAN, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung hari ini, bukan sahaja menghimpunkan ribuan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam satu acara berskala besar malah menjadi medan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan nasional.

Mengangkat tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, sambutan kali ini disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Stadium Negeri, di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang (kanan) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri) ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang dalam ucapannya, berkata tema tahun ini amat bertepatan dengan situasi semasa dan mencerminkan aspirasi rakyat untuk memperkukuh hubungan antara komuniti.

“Tema ini memperlihatkan komitmen kita untuk terus menyemai semangat perpaduan serta membentuk keharmonian yang berpaksikan nilai faham, hormat dan terima,” katanya.

SMP 2025 menyajikan lebih 40 pengisian menarik termasuk Pameran Rumah KAMI yang menampilkan 24 etnik dari seluruh negara, perkampungan rumah panjang Kadazandusun, rumah Orang Asli, pameran muzium, pesta buku, sukan rakyat, persembahan kebudayaan dan penampilan artis-artis terkenal tanah air.

Tidak ketinggalan pengunjung juga berpeluang mengunjungi pelbagai pameran oleh kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), jualan MADANI, foodunites serta tawaran pengurangan kompaun saman turut menarik perhatian ramai.

SMP dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya program, sekali gus membuktikan keberkesanan SMP sebagai medan penyatuan rakyat pelbagai latar belakang etnik dan agama.

Anwar (dua dari kanan) menyampaikan biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman kepada pelajar, Thea Wai Chor (tiga dari kanan) sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkasa akses pendidikan untuk generasi muda.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada kawasan-kawasan terpilih, sebagai galakan untuk menganjurkan program bersifat ekonomi progresif dan inklusif di peringkat komuniti.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan biasiswa kepada tiga penerima terpilih di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR), sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataannya turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh semangat kenegaraan, muhibah dan kesukarelawan berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta tiga teras utama Dasar Perpaduan Negara.

-RI

Tinggalkan komen anda