
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Ancaman keselamatan masyarakat masa kini semakin kompleks apabila jenayah tidak lagi hanya bersifat fizikal, sebaliknya turut melibatkan aspek keselamatan siber, sosial dan ekonomi.
Menurut Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah Zuraini Mohd Yusoff perkembangan teknologi telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk penipuan atas talian yang semakin berleluasa sekali gus menggugat kesejahteraan hidup rakyat.

Taklimat disampaikan oleh Penolong Pengarah MKN Negeri Kedah, Mohd Noor Hisyam Abdul Latif.
“Saban hari kita berhadapan dengan kes penipuan dalam talian seperti Macau Scam, Love Scam, Phishing serta pelaburan dan pinjaman palsu.
“Jenayah ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi juga memberi kesan kepada emosi dan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan sistem digital,” katanya semasa merasmikan Program Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM) dan Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian yang berlangsung di Dewan KEDA Tanjung Setul, di sini hari ini.
Program ini merupakan inisiatif bersama Pejabat Penerangan Daerah Pendang, Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian dan KEDA Tanjung Setul dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan semasa khususnya berkaitan jenayah siber.
Salah seorang peserta yang hadir Samat Salleh, 66, berkata bahawa program sebegini dapat memberi pendedahan berguna mengenai modus operandi terkini scammer (penipu) yang sentiasa berubah-ubah dalam usaha memperdaya mangsa.
“Kadang kala kita tidak sedar bahawa kita hampir menjadi mangsa, maka melalui program ini kita dapat mengetahui serba sedikit mengenai pelbagai jenis penipuan yang berlaku serta langkah-langkah untuk mengelakkannya,” ujarnya.

Petugas membuat edaran bahan penerbitan berkaitan jenayah siber, keselamatan Internet dan sebagainya.
Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim turut menyeru orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang mencurigakan serta tidak mendedahkan maklumat peribadi yang diminta melalui panggilan telefon, emel atau aplikasi Whatsapp.
“Semua lapisan umur terdedah kepada bahaya ancaman jenayah siber termasuk golongan remaja, dewasa dan tidak terkecuali warga emas juga turut berisiko menjadi mangsa,” ujarnya.
Turut hadir Penolong Pengarah (MKN) Mohd Noor Hisyam Abdul Latif, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian Mohd Khir Hamid serta wakil Majlis Ketua Kampung KEDA Tanjung Setul Ismail Ibrahim.
-RI





