
Laporan/foto: Lizza Imelia (Larut Matang dan Selama)/FAMA Negeri Perak
SELAMA, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Durian Fest 2025 mampu menjadi platform memacu agropelancongan dan ekonomi tani negeri Perak.
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penganjuran program berkenaan merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pertanian bernilai tinggi, ekopelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar secara mampan.

Jualan Murah Durian yang menjadi rebutan pengunjung yang hadir.
“Penganjuran Durian Fest ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform strategik untuk menjenamakan durian keluaran Perak di pasaran domestik dan antarabangsa, membina jaringan niaga agro, serta memperkukuh keterlibatan belia dan komuniti tani dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025, di sini kelmarin.
Program berskala negeri selama dua hari di Dataran Selama bermula 19 Julai lalu mencatatkan kehadiran lebih 27,000 pengunjung dan penglibatan lebih 25 usahawan tempatan.
Menurut Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak Azleena Zainal Abidin, ia merupakan kali pertama FAMA Perak menjadi Pengerusi Jawatankuasa Induk bersama Pejabat Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), dibantu jabatan dan agensi yang terlibat.
“Dengan kekuatan 40 petugas FAMA Perak dan daerah terutamannya LMS sebagai tuan rumah, jawatankuasa induk telah berkerja keras demi memastikan program berjalan lancar.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Pejabat Daerah LMS yang berjaya menyusun atur peranan dan tanggungjawab di peringkat daerah,” katanya.

Ketua-ketua Jabatan Negeri Perak dan daerah, wakil-wakil agensi serta NGO turut hadir bagi memeriahkan Majlis Penutup Durian Fest 2025 Peringkat Negeri Perak, kelmarin.
Menurut Laporan Interim Banci Pertanian 2024, jumlah pengeluaran durian di negeri Perak mencecah 59,217.3 tan metrik dengan nilai jualan sebanyak RM462.28 juta, menjadikan negeri itu antara pengeluar utama durian di Malaysia.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Teh Kok Lim, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan FAMA Rosilawati Abu Hassan, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat.
-RI





