
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Persembahan bertajuk ‘Tragedi Bukit Kepong, Satu Inspirasi’ membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Kluang apabila dinobat sebagai juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku 2025 peringkat negeri Johor.

Pasukan SMK Sultan Abdul Jalil akan mewakili negeri Johor ke Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2025, yang tarikh dan lokasinya akan diumumkan kelak.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku sekolah Mohd Isnuri Md Rashid berkata kemenangan itu amat bermakna dan menjadi penyuntik semangat buat pelajar serta guru-guru yang terlibat.
“Walaupun kami meletakkan harapan tinggi, namun kemenangan ini tetap di luar jangkaan. Alhamdulillah, ia menjadi inspirasi kepada semua warga sekolah untuk terus cemerlang,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di pejabat Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Johor, di sini semalam.
Menurutnya, pertandingan tersebut memberi impak besar kepada pelajar dalam menyemai semangat patriotisme melalui penghayatan watak dan naratif sejarah yang disampaikan.
“Pelajar bukan sahaja mengasah bakat seni malah turut merasai emosi perjuangan, sedih, marah, sayang dan semangat cinta tanah air. Guru-guru juga turut merasai pengalaman sama sepanjang tugasan ini,” katanya.
Mengulas persiapan ke peringkat kebangsaan beliau, berkata pasukannya telah mengadakan sesi post-mortem bersama juri dan urus setia daripada JAPEN Johor bagi menambah baik persembahan dari aspek aksesori pentas, penyampaian dan pengurusan masa.

Pertandingan akhir Pengisahan Kenegaraan Negeri Johor menyaksikan enam pasukan terbaik dari seluruh Johor berentap setelah melepasi saringan peringkat daerah.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor berkata pertandingan tersebut bukan sekadar pentas seni, tetapi platform penting dalam menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
“Pengisahan Kenegaraan memberi peluang kepada pelajar memahami sejarah dan nilai patriotisme secara kreatif serta penuh penghayatan,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar program sebegini diteruskan saban tahun bagi memupuk jati diri dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan pelajar.
-RI






