
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Penampang)
PENAMPANG, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bukan sekadar agenda promosi pelancongan, malah satu gerakan nasional yang menuntut penglibatan seluruh rakyat Malaysia dalam menyambut dan meraikan kehadiran pelancong ke negara ini.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah Haryanty Abu Bakar berkata usaha menjayakan TMM2026 bukan terletak pada bahu agensi pelancongan semata-mata, sebaliknya menuntut kesiapsiagaan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, pengusaha kecil, pemandu pelancong serta penyedia perkhidmatan awam.

Haryanty menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah, Puan Geraldine Voo.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah inisiatif kerajaan yang perlu digerakkan secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia. Kesediaan menerima pelawat perlu bermula dari sekarang. Tahun 2025 adalah fasa persiapan dan 2026 kita raikan ketibaan pelancong.
“Tourism Malaysia Sabah giat mengenal pasti destinasi baharu berpotensi kawasan pedalaman. Antaranya ialah Borneo Honey Bee Centre dan G Wonder Khayalan Home Art Gallery di Kudat, yang masing-masing menawarkan pengalaman melihat industri madu lebah dan galeri seni imaginatif berasaskan budaya Sabah.
“Galeri ini orang panggil ‘galeri paling hodoh’, tapi di situlah keunikannya, hasil tangan pemiliknya berdasarkan imaginasi tentang Sabah. Ia sangat menarik dan luar biasa,” katanya ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN, di sini pada Isnin.
Jelas Haryanty, pihaknya turut mengetengahkan pelbagai destinasi yang unik dan wajib dikunjungi di samping menyeru penggiat industri untuk mengoptimumkan penggunaan media sosial dalam tujuan promosi produk pelancongan di Sabah.
“Seperti Sorinsim Sub-station Biodiversity Site dan Togudon Geo Tourism di Kota Marudu sebagai lokasi eko-pelancongan yang memiliki nilai biodiversiti tinggi di bawah UNESCO Global Geopark Kinabalu. Kota Belud juga bukan sekadar cowboy town. Kita mahu tonjolkan pusat kraftangannya. Lokasi-lokasi ini adalah ‘hidden gems’ yang akan kami tonjolkan menjelang TMM2026.

Haryanty (lima dari kiri) merakam gambar bersama Puan Geraldine (tiga dari kanan) dan krew Influencer@JAPEN.
“Kadang-kadang hanya satu video ringkas pun boleh membuka peluang besar. Tag saja Tourism Malaysia Sabah, kami boleh bantu repost. Gunakan hashtag rasmi seperti #MalaysiaTrulyAsia, #FeelSabahNorthBorneo dan #SurrealExperiences,” katanya.
Tambahnya, kejayaan TMM2026 juga sangat bergantung kepada elemen responsible tourism dalam kalangan rakyat, khususnya dari aspek kebersihan, keselamatan dan kesediaan komuniti menyambut pelancong dengan mesra.
“Kalau ada pantai, jangan buang sampah sesuka hati. Kalau ada makanan tradisi, sediakan dengan rasa dan keikhlasan. Promosi perlu jujur, dan masyarakat perlu bertanggungjawab,” katanya.
Untuk rekod pada tahun 2025 Malaysia menyasarkan untuk menarik 45 juta pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM270 bilion.
-RJ-





