
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Warta Kedah
ALOR SETAR, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Festival Hari Muzium Antarabangsa bukan sahaja menjadi sambutan tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga muzium seluruh negara tetapi juga sebuah platform penting dalam merapatkan hubungan antara institusi muzium, masyarakat dan komuniti antarabangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Kamarul Baharin A.Kasim, berkata festival kali ini lebih istimewa kerana menjadi sebahagian daripada acara Tahun Melawat Kedah.
“Ia diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan pelancongan negeri dan memperkenalkan warisan budaya kita ke peringkat lebih luas,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa 2025, di sini pagi tadi.
Festival yang berlangsung dari 23 hingga 29 Julai ini di Muzium Padi, di sini membuka tirai dengan penuh meriah, menandakan penganjuran kali ke-29 acara berprestij dalam kalendar permuziuman negara.
“Pemilihan Kedah sebagai tuan rumah pada tahun ini amat bertepatan memandangkan negeri ini turut meraikan Tahun Melawat Kedah 2025. Ini merupakan kali kedua Negeri Kedah diberi penghormatan sebagai tuan rumah selepas kali pertama pada tahun 2016.
“Lebih menarik, festival kali ini disifatkan sebagai lebih menyeluruh dengan penglibatan pelbagai institusi termasuk Muzium Persekutuan, muzium-muzium negeri, muzium swasta serta muzium antarabangsa dari Indonesia dan Singapura,” katanya,
Dengan tema ‘Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas’, festival ini mengetengahkan kepentingan muzium sebagai institusi yang sentiasa relevan dalam mendepani perubahan zaman, terutama dari aspek teknologi, pendidikan dan keterlibatan masyarakat.
Pelbagai aktiviti, pameran dan kolaborasi berlangsung sepanjang minggu festival, bukan sahaja untuk menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa, tetapi juga memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan khazanah warisan negara.
Penganjuran festival ini bukan sekadar meraikan sejarah dan budaya, tetapi juga menunjukkan kesungguhan Jabatan Muzium Malaysia dalam memperkukuh jalinan serantau serta memperluaskan peranan muzium sebagai pemangkin perubahan sosial dan komuniti.
-RI





