
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)/Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
SHAH ALAM, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Dalam usaha memperkasakan generasi berkemahiran tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus memacu perubahan dengan menerajui transformasi digital dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seiring tuntutan ekonomi digital negara.

Datuk Dr. Anesee Ibrahim (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran ILHAM@CeLT (Innovative Learning Hub for Advancing Method), sebuah inisiatif Politeknik METro KualaLumpur sebagai pusat pembangunan bahan pengajaran digital berasaskan teknologi masa hadapan
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, berkata POLYCC yang merupakan institusi TVET di bawah KPT menekankan penggunaan teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Augmentasi (AR) dan Realiti Maya (VR).
“Tahun ini buat pertama kalinya, teknologi ini dibawa dalam bentuk pameran seperti ini agar pengunjung berpeluang untuk melihat apakah teknologi-teknologi yang digunakan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di politeknik dan kolej komuniti.
“POLYCC disaran agar terus mempromosikan program-program supaya masyarakat mengetahui apakah yang ada di politeknik dan kolej komuniti supaya POLYCC terus menjadi tonggak kepada peningkatan kemahiran TVET khususnya bagi memenuhi keperluan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 di Setia City Mall, semalam.

POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 berjaya menarik golongan muda yang mengetengahkan pelbagai inovasi digital hasil warga POLYCC
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran ILHAM@CeLT (Innovative Learning Hub for Advancing Method), sebuah inisiatif Politeknik METro Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan bahan pengajaran digital berasaskan teknologi masa hadapan.
Pameran selama dua hari itu mengetengahkan pelbagai inovasi digital hasil warga POLYCC merangkumi teknologi AI, AR, VR, flight simulator, robotik, e-sport serta pelbagai demonstrasi digital.
Turut diadakan POLYCC – AWS League of Large Languange Model (LLM) Bootcamp yang julung kalinya dibawakan oleh Amazon Web Services (AWS) ke Malaysia dengan POLYCC menjadi agensi pertama yang terpilih untuk menganjurkannya di negara ini.
Pada majlis tersebut, POLYCC turut menerima pengiktirafan daripada AWS atas kejayaan penganugerahan 5,000 lencana digital AI sebagai AWS Training Partner.
-AA-





