
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) Mall kini berperanan sebagai hub pengangkutan dan komuniti utama di kawasan Gombak.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin berkata TBG Mall bukan sahaja berfungsi sebagai terminal pengangkutan awam, malah menyediakan kemudahan untuk masyarakat termasuk ruang niaga, dewan serbaguna serta fasiliti sukan.

Amirudin (dua dari kanan) ketika meninjau TBG Mall yang mempunyai 130 lot ruang niaga, dewan dan fasiliti sukan
“TBG akan menjadi substation kepada KL Sentral bagi penduduk sekitar Gombak, Batu dan Wangsa Maju khususnya mereka yang mempunyai hubungan dengan Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan pembukaan rasmi TBG Mall, di sini kelmarin.
Turut hadir Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz dan Pengarah Komersial TBG Mall, Khalidah Dan Yunan.
Ahli Parlimen Gombak itu juga memaklumkan TBG telah mula beroperasi sejak Mac lalu dan mencatatkan kadar penghunian sebanyak 85 peratus melibatkan lebih 130 lot perniagaan.

Amirudin turut beramah mesra dengan salah seorang pelanggan TBG yang akan menaiki bas ekspres ke pantai timur
“Ini sekali gus menunjukkan perkembangan positif sebagai pusat komersial dan logistik di zon timur Lembah Klang.
“Sejak beroperasi, TBG telah mengendalikan perayaan utama iaitu Aidilfitri dan Aidiladha dengan kelancaran pergerakan penumpang dan kenderaan, termasuk bas ekspres ke destinasi Pantai Timur,” jelasnya.
Tambahnya, TBG Mall juga bakal dihubungkan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain sambungan sedia ada dengan Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak, menjadikan lokasi itu antara hub pengangkutan strategik yang menggabungkan perkhidmatan rel dan darat.
-AA-





