
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 29 Jul (MalaysiaAktif) — Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan perlunya kesiapsiagaan komuniti di peringkat kampung dan taman perumahan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Pusat Kawalan Operasi Kampung Siaga 221 di Kampung Nakhoda
Penegasan itu dibuat susulan insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights, baru-baru ini.
Ujarnya, insiden tersebut melibatkan 511 rumah dan lebih 2,000 penduduk, namun tiada kematian direkodkan berbanding kejadian serupa di Sarawak beberapa tahun lalu yang mengorbankan satu nyawa.
“Bezanya di Sarawak berlaku di kawasan terpencil, manakala di Putra Heights terjadi di tengah bandar.
“Namun, jumlah mangsa di Putra Heights jauh lebih besar dan setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan lebih RM40 juta termasuk bantuan sewa, rawatan dan keperluan peribadi,” katanya semasa merasmikan Program Kampung Siaga 221 di Kampung Nakhoda, di sini kelmarin.
Turut hadir Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Selangor, Penolong Pesuruhjaya (PA) Ghazali Abdul Rahman.

Amirudin melihat peta mukim Batu yang terdapat dalam Pusat Kawalan Operasi Kampung Siaga 221 di Kampung Nakhoda
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menekankan perlunya penubuhan pasukan tindak balas di setiap lokaliti agar tindakan segera dapat diambil dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Usaha itu melatih masyarakat bertindak secara teratur dan berpengetahuan dalam situasi kecemasan.
“Daripada menyelamatkan kucing tersepit hinggalah membantu mangsa tanah runtuh atau kebakaran, latihan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Amirudin menasihatkan latihan dipergiatkan untuk tingkatkan kemahiran menyelamat.
“Kalau boleh seminggu sekali, buatlah latihan untuk pastikan komuniti kita bersedia dan mampu bertindak dalam apa jua keadaan,” tambahnya.
-AA-






