Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Dari Rumah ke Ekspo Kraf, CT N Honey Kini ke Pentas Dunia

By 29 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini

KANGAR, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Kreativiti adalah anugerah yang boleh diasah dan diperkasa melalui minat serta latihan berterusan.

Kekangan masa dan tanggungjawab keluarga juga tidak menjadi penghalang kepada seorang suri rumah untuk mencipta peluang serta kejayaan, malah menjadi batu loncatan ke arah keusahawanan yang berjaya dek semangat yang tinggi.

Pelbagai jenis beg dihasilkan oleh CT N HONEY

Itulah kisah inspirasi Siti Noor Hanir Zanar Misro, pengasas produk beg kraftangan jenama CT N HONEY.

Bermodalkan kemahiran menjahit yang dipelajari di zaman sekolah, Siti Noor Hanir membuat keputusan untuk memulakan perniagaan dalam talian dengan mengadakan laman web sendiri sejak 10 tahun yang lalu.

Bermula dari rumah, ibu kepada enam orang anak lelaki itu menerima tempahan menjahit beg tangan eksklusif mengikut citarasa pelanggan bermula daripada guru anak-anaknya berbekalkan sebuah mesin jahit jenama Singer.

“Pada mulanya saya hanya terima tempahan rekaan ringkas. Tapi, apabila pelanggan mula minta corak lebih kompleks, saya cabar diri untuk terima dan hasilkan sesuatu yang lebih unik,” ujarnya ketika ditemui di Festival Kraf Utara 2025, di sini semalam.

Beg aksesori tempat penyimpanan barangan wanita antara inovasi produk yang dihasilkan

Setiap beg dihasilkan sepenuhnya oleh hasil kreativiti sendiri bermula dari pemilihan fabrik, pemotongan pola sehingga ke jahitan akhir seterusnya meletakkan jenama itu sebagai lambang ketekunan dan keaslian dalam dunia kraf tempatan.

Beliau memberi perhatian penuh terhadap kualiti dan kemasan, menjadikan setiap beg bukan sekadar produk, tetapi sentuhan karya seni.

Selain itu, Siti turut membuka kelas menjahit kepada kaum wanita lain yang ingin mempelajari kemahiran tersebut dan menjana pendapatan sendiri dari rumah.

Kini, beliau telah menghasilkan pelbagai jenis beg seperti sling bag, clutch, tote bag dan beg galas komputer riba menggunakan fabrik seperti linen, kanvas kapas, songket dan batik premium.

Antara detik paling membanggakan sebagai usahawan adalah apabila jenamanya terpilih sebagai cenderamata rasmi kepada isteri Presiden Turkiye, Emine Erdo?an semasa Kuala Lumpur Summit 2019, hasil pilihan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengiktirafan itu membuktikan bahawa hasil kraf tempatan mampu menembusi pasaran dan majlis bertaraf antarabangsa.

-AA-

Tinggalkan komen anda