
Laporan/foto: Muhammad Nashran/Muhammad Hariz (Kampar)
IPOH, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat cintakan tanah air terus disemarakkan menerusi Program JIWA@Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rapat Setia yang diadakan bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025, semalam.

Gimik Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Sekolah.
Pengetua SMK Rapat Setia Muzzafar Mohd Zain dalam ucapannya, berkata sambutan itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan satu bentuk pendidikan tidak formal untuk membina jati diri pelajar.
“Apa erti merdeka jika murid malas ke sekolah? Apa makna bebas jika akhlak hilang arah? Apa guna laungan ‘Malaysia Tanah Tumpah Darah’ jika kita sendiri tidak menghargai nilai warganegara.
“Wahai anak-anak merdeka, jadikan bilik darjah sebagai medan perjuangan, jadikan pena dan kertas sebagai senjata, jadikan akhlak dan nilai murni sebagai perisai dan jadilah murid yang membawa makna. Di tangan kamu tergenggam masa depan negara,” tegasnya dengan penuh semangat, di sini.
Program anjuran Kelab Malaysiaku SMK Rapat Setia di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah Kampar itu bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar melalui pendekatan seni, budaya dan pengisian nilai kenegaraan.

Persembahan dikir barat bertemakan kemerdekaan menyemarakkan semangat patriotik warga sekolah.
Pegawai Penerangan Daerah Roziah Ishak yang menyampaikan amanat Bulan Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, menjelaskan tema tersebut membawa mesej mendalam tentang keutamaan rakyat dalam aspek kemanusiaan, keadilan sosial dan integriti pentadbiran, selari dengan komitmen kerajaan terhadap pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
Roziah turut melahirkan kebimbangan terhadap hakikat bahawa semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda semakin luntur akibat penjajahan minda, budaya dan digital.
Beliau justeru berharap agar generasi muda bangkit membina jati diri dan menyedari bahawa kemerdekaan bukan sekadar sejarah, tetapi amanah yang perlu dipelihara.
“Jika jati diri dapat dipertahankan, maka negara ini akan terus utuh dan bermaruah di bumi sendiri,” ujarnya.
-RI






