
Laporan/foto: Fatin Nabila/Warta Kedah (Kedah)
ALOR SETAR, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Kementerian Pengangkutan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terus memperkasa sistem pengangkutan bas berhenti-henti negara dengan pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) melalui jenama BAS.MY serta Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF).

Anthony semasa Majlis Pelancaran BAS.MY Kota Setar.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, inisiatif itu selaras dengan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat dan bertujuan menambah baik kebolehpercayaan serta kemampanan perkhidmatan bas.
“SBST direka untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam, manakala ISBSF membantu menampung kerugian operasi pengendali di laluan tidak ekonomik, terutamanya kawasan luar bandar,” katanya semasa Majlis Pelancaran BAS.MY Kota Setar yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, di sini semalam.
Pelaksanaan BAS.MY di Kota Setar melibatkan 13 laluan merentasi lima pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Pendang dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Sebanyak 48 buah bas baharu disediakan, termasuk enam bas mini dan 42 bas mini ‘low floor’, lengkap dengan reka bentuk merah jambu yang ceria bagi menarik minat pengguna, termasuk pelajar.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
-RI





