Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Jualan Agro MADANI Bukti Keprihatinan Kerajaan Menangani Kos Hidup Rakyat

By 29 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kedah)

BALING, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha kerajaan memperluas program Jualan Agro MADANI ke lebih banyak kawasan-kawasan luar bandar menjadi bukti keprihatinan pemimpin dalam menangani kenaikan kos hidup rakyat.

Menurut Pengurus Besar Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling Mohd Noor Effendi Mohd Mostofa, inisiatif oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menyarankan agar PPK di seluruh negara menganjurkan jualan Agro MADANI secara berkala.

Produk Jualan Rahmah juga mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Harga jualan dalam program ini adalah sekitar 30 peratus lebih murah berbanding di pasar raya atau kedai runcit. Namun, kualitinya tetap terjamin. Sebagai contoh, sayur-sayuran yang dijual adalah hasil tuaian semasa dan terus dijual kepada pelanggan,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan program itu akan dilanjutkan sehingga Mac tahun hadapan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan kampung di luar bandar agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

Program tersebut turut diadakan serentak dengan Program Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, khususnya barangan basah seperti ikan, udang, ketam dan daging lembu segar hasil sembelihan tempatan pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

Ikan temenung yang dijual serendah RM0.30 seekor menjadi tarikan utama pengunjung.

Penduduk sekitar Daerah Baling menyambut baik inisiatif itu, yang memberikan peluang kepada mereka mendapatkan barangan harian berkualiti pada harga mampu milik.

Antara tarikan utama ialah set kombo sayur-sayuran segar yang habis dijual dalam tempoh hanya satu jam, menunjukkan permintaan tinggi terhadap barangan tempatan yang murah dan segar.

Ikan temenung 30 sen seekor antara yang menjadi rebutan pelanggan.

PPK Baling juga memainkan peranan penting dalam membantu peniaga kecil dan vendor tempatan memasarkan hasil tanaman serta produk keluaran mereka.

Walaupun harga jualan dikurangkan, kehadiran pengunjung yang ramai membantu mengekalkan margin keuntungan peniaga.

Seorang peniaga keropok lekor, Muhammad Daud Tumpang, 46, menyatakan keterujaannya kerana hasil jualannya meningkat secara ketara.

“Program jualan seperti ini sangat membantu peniaga kecil seperti saya. Selain jualan meningkat, ia juga memperkenalkan produk tempatan kepada orang ramai,” ujarnya.

Bagi pengunjung, Rubiah Ali, 56, dari Kampung Siput, beliau sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli barangan keperluan di program tersebut.

“Barang-barangnya murah, segar dan berkualiti. Saya harap program seperti ini diadakan setiap minggu, terutama di kawasan kampung yang jauh dari pekan,” katanya penuh harapan.

Program Agro MADANI dan Jualan Rahmah bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat, malah turut membantu merancakkan ekonomi peniaga kecil dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

-RI

Tinggalkan komen anda