Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

KEMAS Teraju Usaha Memartabatkan Semula Kebaya Perlis

By 29 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini

KANGAR, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Baju Kebaya Perlis, busana tradisional yang sinonim dengan kehalusan seni dan adab wanita utara, kini semakin mendapat tempat dalam arus perdana warisan budaya negara. Pemakaiannya bukan sahaja melambangkan jati diri, bahkan menjadi bukti ketelitian serta nilai estetika yang diwarisi sejak zaman dahulu.

Kini, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis menjadi peneraju utama dalam usaha memartabatkan semula Kebaya Perlis. Melalui bengkel kemahiran, latihan menjahit serta promosi busana tempatan, KEMAS bukan sahaja melahirkan penjahit mahir, malah turut membantu memasarkan Kebaya Perlis ke peringkat kebangsaan.

Menurut seorang tenaga pengajar di KEMAS Taman Merpati Cikgu Haslina Abd Hamid, 56, ramai peserta yang telah berjaya dibimbing dalam seni jahitan Kebaya Perlis dan berharap agar warisan busana ini tidak pupus ditelan zaman.

“KEMAS sentiasa bersedia membimbing orang ramai yang berminat. Mereka yang ingin menempah atau mendapatkan stok sedia ada baju Kebaya Perlis boleh berhubung terus dengan pihak KEMAS di Pusat Daya Maju Kuala Perlis,” ujarnya ketika ditemui di Festival Kraf Utara 2025, Ahad lalu.

Reka bentuk Kebaya Perlis memperlihatkan perincian klasik seperti fabrik kapas bercorak halus, kasabia dan songket, digandingkan dengan kain pelikat atau batik bercorak kecil serta dihiasi kancing dokoh emas bertatah.

Menurut catatan, Kebaya Perlis pernah menjadi pakaian rasmi kerabat diraja negeri dan dipakai dalam majlis istiadat istana.

Busana ini mula diperkenalkan secara dokumentasi oleh Datin Seri Datuk Shamsiah Haji Md. Yassin pada tahun 2003 selepas mendapat pengesahan daripada Almarhumah Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail, yang menyatakan bahawa kebaya tersebut telah dipakai sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an. Namun, ada bukti tidak rasmi yang menunjukkan pemakaian kebaya ini telah wujud seawal tahun 1930-an.

Antara pemilik asal yang memiliki baju Kebaya Perlis era tersebut yang kini dipamerkan sempena Festival Kraf Utara 2025, adalah Datin Aishah Abdullah, dari Jalan Tok Paduka, Kangar. Beliau yang lahir pada tahun 1927, mula menjahit baju sendiri seawal usia 17 tahun. Kebanyakan kain yang digunakan adalah kasabia dan songket tempatan.

Salah satu baju milik beliau yang berusia lebih 70 tahun kini disimpan oleh Pemaju Masyarakat KEMAS Perlis Azniyah Abu Bakar sebagai bahan rujukan dan arkib warisan negeri dan dipamerkan di Festival Kraf Utara 2025.

Dengan sokongan pelbagai pihak, Kebaya Perlis bukan sahaja kekal sebagai pakaian tradisional semata-mata, malah berpotensi menjadi simbol kebanggaan negeri dalam industri fesyen warisan negara.

-RI

Tinggalkan komen anda