Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pelajar Tumbuk Guru: Tindakan Tegas Diperlukan, Nilai Hormat Mesti Dipulihkan

By 30 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Hakeemullah Ismail

SHAH ALAM, 30 Jul (MalaysiaAktif) – Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri Selangor Papparaidu Veraman menyifatkan insiden tular seorang pelajar lelaki menumbuk gurunya di sebuah sekolah menengah di Kajang sebagai serius dan mencerminkan keruntuhan nilai hormat terhadap warga pendidik.

Beliau memaklumkan pelajar terbabit telah ditahan polis dan akan didakwa dalam masa terdekat.

“Tindakan fizikal terhadap guru tidak boleh diterima. Ia bukan sekadar isu disiplin, tetapi lambang kegagalan dalam pembentukan sahsiah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, insiden sedemikian berpunca daripada sikap ibu bapa yang terlalu melindungi anak tanpa asas serta pengaruh negatif luar sekolah.

“Jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan contoh baik, anak-anak akan bawa sikap itu ke sekolah. Guru mesti dilindungi dan dihormati,” katanya.

Papparaidu turut memuji ketenangan guru terbabit dan menyeru semua guru agar tidak berdiam diri jika berdepan ancaman atau kekasaran.

“Tiada kompromi terhadap keganasan atau buli di sekolah. Keselamatan warga pendidik mesti dijamin,” tegasnya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 38 saat memaparkan seorang pelajar lelaki dipercayai menumbuk seorang guru lelaki.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas guru terbabit dikatakan cuba menahan pelajar tersebut kerana ponteng kelas Pendidikan Jasmani.

-RI

Tinggalkan komen anda