
Laporan/ Foto : Safik Effendi Kassim (SARAWAK)
KUCHING, 30 Jul (MalaysiaAktif) – Bukan kerana minat tetapi hanya ingin mencari sumber pendapatan yang tetap, Ahmad Tarmizi Ahmad Sabirin, 29, pengurus Sungai Jaong Farm (SJ Farm) kini mampu menggunakan peluang yang ada dalam sektor pertanian untuk menjana pendapatan pada usia muda.

Tanaman cili yang telah membuahkan hasil dan sedia untuk dituai.
Segalanya bermula selepas tamat tingkatan lima pada tahun 2014 apabila beliau memilih untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan mengambil keputusan untuk membantu abangnya di kebun secara separuh masa dengan menerima upah sebanyak RM300 sebulan.
“Abang saya selalu sibuk menerima jemputan ceramah mengenai pertanian moden di pelbagai tempat, jadi urusan penjualan hasil kebun diserahkan kepada saya dan dapatlah saya merasa sedikit komisen hasil penjualan tersebut.
“Dari situ, terdetik hati saya untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi sekiranya saya sendiri yang mengusahakan tanaman dan memasarkan sendiri hasilnya,” ujar Ahmad ketika ditemui semalam di SJ Farm, Taman Kekal Pengeluar Makanan (TKPM), Rampangi.
Tambahnya, sejak itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan minat semakin mendalam untuk mempelajari selok-belok pertanian serta berhasrat untuk mengusaha dan mengeluarkan hasil dalam skala lebih besar.
“Alhamdulillah, pada tahun 2021 saya dan isteri berjaya menubuhkan SJ Farm dengan fokus utama kami ialah mengusahakan penanaman Cili Gronong yang juga merupakan tanaman pertama di ladang ini dengan bermodalkan duit simpanan sendiri,” katanya.

Pelbagai tanaman di Ladang SJ Farm selain cili gronong.
Namun setiap perkara atau usaha pasti ada dugaannya kerana biarpun sudah berjaya memperluaskan tanaman cilinya, adakalanya tanaman tersebut tidak dapat mengeluarkan hasil akibat serangan ulat yang memusnahkan semua hasil tanaman sehinggakan atas nasihat Jabatan Pertanian Sarawak, beliau dan isteri terpaksa menukar jenis tanaman selang tiga bulan sebelum menanam semula cili.
Selain Cili Gronong, SJ Farm juga menanam cili besar, salad, daun pudina dan buah tomato menggunakan kaedah fertigasi.
“Walaupun kebanyakan cili yang kami tanam di sini menggunakan kaedah fertigasi, tetapi untuk salad, saya pelbagaikan juga dengan menggunakan kaedah hidroponik kerana mendapat permintaan yang tinggi di sekitar Bandar Raya Kuching dan mampu dijual dengan untung kasar sekitar RM6,000 sebulan,” jelas Ahmad lagi.
Sebagai usahawan dan petani moden, beliau juga berharap untuk mengembangkan perniagaannya dengan menambah pekerja supaya dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil dan menjadi inspirasi kepada belia lain yang berminat menceburi sektor pertanian.
Untuk rekod, Ahmad pernah merangkul gelaran juara bagi program Agrotech Heroes 2024 anjuran TVS apabila meraih ganjaran sebanyak RM10,000.
-RJ-





