Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Tradisi Warisan Anyaman Bubu, Serkap Terus Dipelihara

By 31 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis

KANGAR, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Dalam usaha mengangkat martabat seni warisan tempatan, Kraftangan Malaysia terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara kraf tradisional.

Antara yang diberi perhatian ialah seni kraf anyaman serkap dan bubu, alat menangkap ikan tradisional yang mencerminkan kreativiti dan kebijaksanaan masyarakat terdahulu yang turut berada di Festival Kraf Utara 2025 yang berlangsung kini sehingga 4 Ogos nanti di Kraftangan Cawangan Perlis.

Bubu dan serkap masih punya peminatnya tersendiri.

Diperbuat menggunakan buluh, rotan dan bahan pengikat tradisi, serkap dan bubu bukan sekadar alat menangkap ikan, malah kini dianggap sebagai warisan budaya hidup yang kaya dengan nilai estetika mahupun fungsi.

Teknik pembuatannya diwarisi secara turun-temurun, memerlukan kesabaran serta ketelitian tinggi.

Antara individu yang masih mempertahankan seni ini ialah Zainon Ramli, 51, dari Padang Sera, Kampung Pakcik, Kedah.

Beliau mewarisi ilmu anyaman daripada arwah datuk dan ayahnya, dan kini aktif menyertai program pelestarian seperti menerusi menyertai pameran-pameran anjuran Kraftangan Malaysia.

“Anak muda hari ini ramai yang berminat, cuma perlu diberikan peluang dan pendedahan,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.

Menurut Zainon, bubu biasanya dibiarkan di parit atau sungai, manakala serkap digunakan terus di sawah padi, terutamanya semasa ‘musim membajak’.

Kekemasan pada pembuatan serkap ini melambangkan pengalaman pengusaha kraf.

Setiap hasil buatannya, tahan antara lima hingga enam tahun, dan dijaga dengan menjemur dan melapisinya dengan minyak selepas digunakan.

Bentuk unik bubu dan serkap ini dilihat boleh menarik minat dengan diinovasikan sebagai produk ekonomi kreatif seperti dijadikan lampu hiasan, cenderamata dan elemen dekorasi.

Katanya, beliau mampu menyiapkan satu unit sehari, dengan permintaan sekitar dua hingga lima biji sebulan mengikut musim.

“Harga bagi setiap unit boleh mencecah antara RM150 hingga RM200 bergantung kepada saiz,” ujarnya.

Program seperti Festival Kraf Utara bersama Kraftangan Malaysia yang turut menyokong pelestarian ini melalui latihan, pemasaran dan pameran dilihat mampu diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda