
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Sering kalinya berlakunya sesuatu musibah, setiap lapisan masyarakat akan sentiasa berusaha mengerakkan penyaluran sumbangan dan bantuan kepada mangsa yang terlibat.
Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Sri Aman dan Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Wilayah Sri Aman tidak terkecuali mengambil inisiatif membantu mangsa kebakaran Kampung Tengah yang berlaku baru-baru ini melalui sumbangan derma kilat.
Setiausaha RSS Wilayah Sri Aman Jasmadi Rajali dan Bendahari Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa Wilayah Sri Aman Mohd Haikal Jelayan Abdullah telah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Kaum Kampung Tengah Kifli Morni di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Sri Lemanak, hari ini.

Jasmadi turut menderma ke dalam kotak sumbangan di PPS Dewan Sri Lemanak.
“Sumbangan ini walaupun tidak besar merupakan simbol solidariti dan kepedulian masyarakat dalam mendepani musibah secara bersama dan diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa kebakaran sementara menunggu bantuan lanjut daripada pihak berkuasa,” kata Jasmadi ketika mengulas berkenaan sumbangan yang diperolehi daripada pelbagai pihak.
Sementara itu, Mohd Haikal menegaskan bahawa seni silat bukan sahaja merupakan warisan pertahanan diri, malah menjadi medium membentuk jati diri dan menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat.
“Seni silat mengajar kami bukan sahaja ketangkasan fizikal tetapi juga jiwa yang peduli dan dasar kemanusiaan serta nilai persaudaraan, kami turun bersama barisan kepimpinan bagi menyampai sumbangan keperluan harian termasuklah memberikan sokongan moral kepada mereka yang terjejas,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan komitmen pertubuhan untuk terus menyumbang tenaga jika diperlukan, termasuk menyertai gotong-royong bagi membersihkan sisa kebakaran dan memulihkan kawasan yang terjejas.
Musibah kebakaran yang menimpa beberapa keluarga di Kampung Tengah baru-baru ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak dan inisiatif sebegini membuktikan bahawa semangat kemasyarakatan dan nilai murni ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ masih subur dalam jiwa warga Sri Aman.
-RJ-





