
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/BERNAMA
SHAH ALAM, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat’, semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata RMK13 yang melibatkan pelaburan RM611 bilion dijangka memperkukuh industri strategik seperti semikonduktor menerusi kerjasama bersama ARM Holdings, sekali gus menjadikan Malaysia bukan sekadar lokasi pembuatan tetapi juga hab reka bentuk dan fabrikasi bernilai tinggi.
Menurutnya, tumpuan kepada urus tadbir cekap, peningkatan pendapatan rakyat, dan pembinaan infrastruktur pendidikan bernilai RM67 bilion, termasuk sekolah vertikal di kawasan padat, akan memberi impak jangka panjang.
“Pelaksanaan prasekolah wajib, pembangunan Pelabuhan Carey, penambahan pengangkutan awam di Lembah Klang, serta penciptaan 1.2 juta peluang pekerjaan dalam sektor digital dan pembuatan berteknologi tinggi turut disambut baik.
“Begitu juga Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Perkasa TVET MADANI serta Dana Latihan TVET, di samping menekankan keperluan penyelarasan dengan 21 industri utama negara seperti digariskan dalam NIMP2030,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, komitmen terhadap kelestarian seperti pengenalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, sasaran 35 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2030, serta teknologi waste-to-energy dilihat selari dengan agenda alam sekitar negeri.
“Projek tebatan banjir Sungai Langat dan Sungai Buloh sebagai penting dan pelaksanaan segera dengan pematuhan tatacara perolehan.
“Langkah menangani kos sara hidup, program Sumbangan Tunai Rahmah, SARA, dan pembinaan sejuta rumah mampu milik dari 2026 hingga 2035, serta strategi keterjaminan makanan seperti penanaman padi lima musim turut diberi perhatian,” katanya.
Ahli Parlimen Gombak itu dijadual menyertai sesi perbahasan RMK13 minggu hadapan bagi menyuarakan cadangan khusus untuk manfaat rakyat Selangor.
-RI





