
Laporan/foto: Iswandi Kassim/ Unit KOMUNIKASI AWAM SARAWAK (UKAS) (Sarawak)
SRI AMAN, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan beberapa agensi kerajaan lain akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Tengah menggantikan dokumen penting yang hilang.
Dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah, Selasa lalu, ramai mangsa kehilangan dokumen peribadi ketika menyelamatkan diri dan sehingga ke hari ini mangsa masih berada di pusat permindahan.

Mahra (dua kanan) enyantuni salah seorang mangsa kebakaran di PPS Dewan Seri Lemanak.
“Kaunter JPN akan dibuka di sini bagi memudahkan urusan dokumentasi dan jabatan lain termasuk Kesihatan, Pendidikan, Tanah dan Survei serta institusi perbankan turut digerakkan secara bersepadu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sri Aman.
“Pendekatan ini penting bagi mempercepatkan semakan dan pemprosesan dokumen serta memudahkan penyaluran bantuan menyeluruh kepada mangsa,” Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata demikian ketika ditemui kelmarin.
Mahra turut memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar pasukan kaunselor dari Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi memberi sokongan psikologi kepada mangsa yang mengalami trauma.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua kaum (KMKK) , NGO dan sukarelawan yang segera tampil membantu sebaik kejadian berlaku.
-RJ-





