
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM13.66 juta tahun ini bagi memastikan usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni terus diperkasa.

Tun Musa menerima cenderamata kenang-kenangan sempena majlis perasmian, sambil diperhatikan Mohd Arifin dan tetamu kehormat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan itu merupakan antara komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh industri pelancongan melalui keunikan budaya pelbagai etnik yang menjadi kekuatan utama Sabah.
“Kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha bagi menambah baik pemeliharaan warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini.
“Penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) bukan sahaja menampilkan keindahan budaya masyarakat pelbagai kaum, malah turut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan menerusi limpahan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Saya yakin festival ini bukan sekadar pentas memperkenal khazanah budaya, tetapi turut memberi peluang ekonomi kepada usahawan, pengusaha inap desa, penggiat seni dan peniaga kecil. Selain itu, ia menjadi platform pendidikan budaya kepada generasi muda agar terus menghargai dan menjaga warisan nenek moyang yang tidak ternilai,” katanya ketika berucap sempena festival itu di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada Sabtu.

Mohd Arifin ketika menyampaikan ucapan mewakili Ketua Menteri Sabah pada Majlis Perasmian FKAT 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, kelmarin.
Ucapannya disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.
Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) yang dijangka siap Disember 2027 bakal menjadi hab seni dan budaya etnik utama di Sabah.
“Apabila siap kelak, TICC akan melonjakkan Tawau sebagai pusat kebudayaan antarabangsa yang berdaya saing.
“Ia memperkukuh peranan Tawau sebagai bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya dan kerjasama serantau,” katanya.
Festival yang mengangkat tema “Kepelbagaian Budaya: Pahlawan, Kraf Tangan dan Perkahwinan” itu disertai komuniti dari pelbagai latar belakang termasuk peserta antarabangsa dari Kazakhstan, Indonesia dan Filipina.

Penerima sijil Malaysia Book of Records bagi tiga kategori: Festival Kepelbagaian Etnik Paling Lama, Persembahan Tarian Etnik Terbanyak, dan Perarakan Etnik Teramai.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Menariknya, FKAT 2025 dinilai secara langsung oleh Malaysia Book of Records bagi tiga kategori pencapaian, iaitu Penganjuran Festival Melibatkan Kepelbagaian Etnik Paling Lama di Malaysia, Persembahan Tarian Etnik Terbanyak Dalam Satu Acara dan Perarakan Etnik Teramai Dalam Satu Acara.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat FKAT sebagai platform budaya berskala besar yang berjaya menghimpunkan kepelbagaian etnik dalam satu perayaan yang penuh warna-warni dan bermakna.
-RJ-






