
Laporan/foto: Adelaidah Arshad/Nurazmieuddin Bacho (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Terbuka sempena Jubli Perak penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, di sini mencatat kehadiran luar jangkaan dengan jumlah pengunjung lebih 2,500 orang.

Ansri (kiri) bersama Johan (kanan) ketika menghadiri Sambutan Hari Terbuka sempena Jubli Perak penubuhan MPOB di Stesen Penyelidikan MPOB Lahad Datu, kelmarin.
Ketua Stesen Penyelidikan MPOB Lahad Datu, Muhammad Ansri Raydien berkata, pihaknya amat teruja dengan sambutan luar biasa masyarakat setempat terhadap program yang julung kali dianjurkan di Stesen Penyelidikan MPOB Lahad Datu itu.
“Kami sangat terkejut dan teruja dengan sambutan pengunjung yang begitu meriah. Pada awalnya, kami hanya menjangkakan sekitar 800 orang hadir. Ini merupakan sambutan yang di luar jangkaan dan kami amat bersyukur serta berterima kasih kepada penduduk Lahad Datu dan semua pihak yang turut sama menjayakan program kali ini.
“Program Hari Terbuka itu merupakan antara acara sambutan Jubli Perak MPOB yang diraikan serentak di lapan lokasi seluruh negara, bertujuan memperkukuh hubungan antara MPOB dan masyarakat setempat serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan industri sawit,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Hari Terbuka MPOB, pada Sabtu.

Sebahagian pengunjung yang memeriahkan Sambutan Hari Terbuka sempena Jubli Perak MPOB di Stesen Penyelidikan Lahad Datu.
Pengunjung, Johan Ahmad, 60, berkata program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami secara lebih dekat peranan MPOB dan pentingnya industri sawit khususnya di daerah Lahad Datu.
“Sambutan yang dianjurkan buat kali pertama ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk lebih dekat dan memahami dengan lebih mendalam peranan serta kepentingan industri sawit yang sememangnya sinonim dengan daerah Lahad Datu,” katanya.

Kanak-kanak terhibur dengan kehadiran badut sempena Hari Terbuka MPOB Lahad Datu.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian pengunjung termasuk Larian ‘Sawit Run’ sejauh 10 kilometer, demonstrasi pembuatan sabun berasaskan sawit, demonstrasi memasak menggunakan minyak sawit merah, pertandingan memancing, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka serta pameran penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan industri sawit.
Daerah Lahad Datu merupakan antara kawasan utama pengeluaran sawit negara, dengan keluasan tanaman melebihi 275,000 hektar, sekali gus menjadikannya pusat penting dalam pembangunan industri sawit negara.
-RJ-





