
Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 5 Ogos (MalaysiaAktif)– Seramai 66 pesilat dari seluruh Sarawak diraikan dalam Majlis Pentauliahan Pesilat Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak (PPSMMS) yang berlangsung penuh adat di Dewan Suarah Sri Aman, kelmarin.

Pesilat-pesilat muda bersedia untuk memberikan persembahan silat terbaik mereka.
Bertemakan “Maruah Dijaga, Martabat Dijulang”, majlis pertauliahan merupakan pengiktirafan rasmi kepada pesilat yang telah menamatkan latihan dan memenuhi syarat kenaikan tahap, melibatkan Peringkat 1 hingga 3, Jurulatih Muda, Jurulatih dan Jurulatih Kanan.
Majlis anjuran bersama PPSMMS Wilayah Sri Aman dan Dewan Undangan Negeri Lingga itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor yang juga merupakan Penaung PPSMMS Wilayah Sri Aman.

Dayang Noorazah berucap merasmikan majlis.
Dalam ucapannya, Dayang Noorazah menegaskan silat bukan semata-mata seni mempertahankan diri, malah mencerminkan nilai disiplin, kesetiaan dan moral tinggi dalam pembinaan watak bangsa.
“Silat bukan sekadar gerak fizikal, tetapi manifestasi disiplin, jati diri, kesetiaan serta nilai moral tinggi da ia adalah warisan bangsa yang kaya dengan falsafah dan makna, dan wajib kita pertahankan,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan pentauliahan itu sebagai permulaan kepada tanggungjawab lebih besar yang perlu digalas oleh para pesilat muda sebagai pembawa panji warisan bangsa.
“Pentauliahan malam ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada amanah yang lebih besar kerana kalian adalah duta warisan perjuangan ini yang diteruskan di sekolah, komuniti dan pentas kebangsaan,” ujar Dayang Noorazah.

Guru silat yang mewakili persatuan-persatuan silat turut hadir.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan pembangunan belia melalui kerjasama dengan pertubuhan silat dan institusi pendidikan tempatan.
“Saya akan terus memperjuangkan program belia seperti ini agar lebih ramai anak muda kita terselamat daripada gejala sosial dan membina masa depan yang lebih positif melalui nilai-nilai dalam persilatan,” tambahnya.
Turut hadir Yang Dipertua PPSMMS Mohamad Effendy Adenan, Naib Yang Dipertua PPSMMS Amir Hamzah Mohamad Zain, Guru PPSMMS Mohd Sebli Abdul Wahid dan wakil-wakil Kelab Silat Olahraga Selendang Abadi, Persatuan Persilatan Seni Asli Zamrud Kuching, Perguruan Pencak Silat Nilam Sari, Silat Gerak Kuntau Betawi Darul Hana dan Perguruan Pencak Silat Warisan Spring 15.
-RJ-





