
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
DAMANSARA, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Usaha gigih ahli Komuniti MADANI (KM) Subang Jaya 2 dalam menghasilkan produk tempatan seperti sambal dan maruku berjaya mencuri tumpuan sempena Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kayu Ara, Sabtu lepas.

Nor Fadziah (kiri) mesra melayang pengunjung yang datang ke gerainya dengan tidak melepaskan peluang merasa keenakan maruku hasil air tangannya.
Zawiah Ibrahim, 57, berkata peluang berniaga sebegitu bukan sekadar memenuhi minat memasaknya, tetapi sebagai ikhtiar membantu menambah pendapatan keluarga.
“Zaman sekarang kena pandai cari peluang, kami tak boleh duduk diam saja kalau nak bantu suami dan ringankan beban keluarga,” katanya sambil memperkenalkan tiga produk hasil air tangannya iaitu Sambal Hijau Meletop, Sambal Kicap Mercik, dan Kacang Goreng yang kini semakin mendapat sambutan.
Menurut Zawiah, perniagaannya baru sahaja bermula kurang setahun lalu dan platform KM sangat membantu dalam memberi ruang memasarkan produk tempatan seperti miliknya.
“Kami cuba promosi melalui program komuniti dan media sosial, Alhamdulillah dapat sambutan yang menggalakkan,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, Nor Fadziah Md Noor, 53, juga dari KM Subang Jaya 2, tampil dengan produk maruku berperisa ayam, ikan, dan udang yang dihasilkan bersama empat ahli komunitinya.

Zawiah bersama tiga produk KM Subang Jaya 2 iaitu Sambal Hijau Meletop, Sambal Kicap Mercik, dan Kacang Goreng yang kini semakin mendapat sambutan.
“Walaupun saya masih bekerja, saya ambil peluang sertai program di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk belajar tentang pasaran digital, rugi kalau tak rebut peluang yang ada,” jelasnya yang menyasarkan untuk bergelar usahawan sepenuh masa selepas bersara kelak.
Jualan Komuniti MADANI yang dianjurkan sempena karnival itu terbukti menjadi platform penting kepada usahawan kecil untuk mengetengahkan produk buatan tempatan secara terus kepada pengguna.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja membuka pintu rezeki baharu, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti melalui penglibatan aktif masyarakat, terutamanya wanita dan golongan berpendapatan sederhana.
-RI






