
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Kesedaran mengenai pemakanan sihat dan gaya hidup aktif terus diperkasa menerusi Program Jom Sihat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Charok Kudong, di sini hari ini.

Penyampaian penghargaan daripada Guru Besar SK Charok Kudong.
Menurut Pegawai Sains Pemakanan Klinik Kesihatan Kubor Panjang Nur Ilhami Mat Isa, pemakanan seimbang adalah tunjang utama dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangan optimum dalam kalangan murid.
“Pendedahan awal mengenai amalan pemakanan sihat mampu membentuk gaya hidup yang lebih cergas dan sihat pada masa depan. Program seperti ini sangat bertepatan dan perlu diperluaskan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pemakanan Sihat’.
Nur Ilhami turut menekankan kesan negatif tabiat pemakanan tidak sihat serta memberikan panduan praktikal kepada murid dan warga sekolah mengenai cara memilih makanan yang berkhasiat dan seimbang.
Program anjuran sekolah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang bersempena pelaksanaan Sistem Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang bertujuan menilai tahap kecergasan fizikal murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Para peserta program pada hari ini.
Guru Besar SK Charok Kudong Zainudin Hamid, turut merakamkan penghargaan kepada pihak PKD Pendang atas kesudian menyertai dan menyampaikan ilmu berguna kepada warga sekolah.
“Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah turut membuka ruang kepada komuniti sekolah untuk memahami pentingnya penjagaan kesihatan secara menyeluruh bermula dari bangku sekolah,” ujarnya.
-RI





