
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/FB Onn Hafiz Ghazi (Johor)
JOHOR BAHRU, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Taman Botani Diraja Johor yang berwajah baharu bakal dibuka semula kepada orang ramai 31 Ogos ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Taman seluas lebih 126 ekar ini menampilkan 12 Taman Khas dengan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 pokok, hasil kerjasama enam PBT di Johor.
Beliau berkata pembukaan semula taman tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan sekali gus menghidupkan semula warisan taman bersejarah itu yang dibangunkan sejak 1864.
“Taman Botani Diraja Johor kini tampil lebih indah, tersusun dan mencerminkan warisan alam semula jadi yang menjadi identiti Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata taman seluas lebih 126 ekar itu kini menampilkan 12 Taman Khas dengan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 batang pokok, hasil kerjasama strategik antara enam pihak berkuasa tempatan.
Ia antaranya melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

Pembukaan semula Taman Botani Diraja Johor menghidupkan semula warisan taman bersejarah itu yang mula dibangunkan sejak tahun 1864.
Taman tersebut katanya akan dibuka kepada umum setiap hari Rabu hingga Ahad bermula 8 pagi hingga 6 petang, dan ditutup setiap Isnin dan Selasa bagi kerja penyelenggaraan.
Bayaran masuk ditetapkan sebanyak RM2 bagi warganegara Malaysia dan RM30 bagi bukan warganegara, manakala kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah serta pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) akan diberi kemasukan percuma.
“Semoga usaha ini menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru,” katanya.
-FN





