
Laporan/foto: Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Masyarakat Labuan diseru untuk mengisi makna kemerdekaan dengan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib berkata ‘ramuan’ berkenaan telah digunakan tokoh negara terdahulu bagi mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 hingga pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963.

Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Labuan 2025.
“Jadikan kepelbagaian etnik dan agama masyarakat negara ini sebagai jambatan kepada integrasi nasional yang ampuh seterusnya menjadi nadi semangat cintakan negara.
“Jika kita terus mengekalkan perpaduan, ia mampu menjadi pelengkap kepada makna sebenar sebuah kemerdekaan yang akhirnya menjadi pendorong kepada kita semua mencapai kemajuan dalam semua bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Labuan, di sini pagi tadi.
Beliau juga mengingatkan agar segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan dan menjiwai sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) yang diadakan setiap tahun.
“Walaupun kehadiran dan sambutan masyarakat cukup menggalakkan pada setiap kali penganjuran program atau aktiviti berkaitan HKHM, namun itu tidak bermakna kita boleh berada dalam zon yang selesa.

Para peserta KMJG berkumpul di Bandar Labuan sebelum mengedarkan Jalur Gemilang.
“Oleh sebab itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menekankan konsep “Malaysia MADAI: Rakyat Disantuni” dalam tema HKHM 2025 untuk menunjukkan sekiranya kerajaan menghormati hak semua rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang sejahtera dan diterjemahkan melalui pelbagai dasar atau inisiatif yang telah diumumkan sejak memegang tampuk pemerintahan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Undang-Undang, Pejabat Penasihat Undang-Undang Perbadanan Labuan, Suhaimi Sainan.
Pada majlis itu turut diadakan edaran Jalur Gemilang kepada premis perniagaan, penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua jabatan dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan.
-FN





