
Laporan/foto: M Zakry Chan/ Facebook: Ab Rauf Yusoh
AYER KEROH 8 Ogos (MalaysiaAktif) – Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) yang melibatkan kesemua ahli EXCO Kerajaan Negeri Melaka bersama Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan berjaya menghimpun dan menyelesaikan lebih 200 aduan rakyat.

Ketua Menteri Melaka mendengar dan meneliti setiap aduan rakyat.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata objektif utama penganjuran HEBAT adalah bagi memberi ruang kepada rakyat menyuarakan aduan dan isu secara terus kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan jabatan berkaitan.
“Ia juga bagi mengurangkan birokrasi dalam proses penyampaian perkhidmatan awam serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat Negeri Melaka.

Rakyat negeri Melaka mengambil peluang bertemu sendiri dengan Ketua Menteri Melaka bagi menyelesaikan pelbagai aduan dan masalah yang dihadapi.
“Program ini melibatan lebih 40 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan di bawah kaunter perkhidmatan aduan dan kaunter bergerak yang dikategorikan mengikut portfolio EXCO masing-masing, ” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.
Beliau berkata program HEBAT akan diteruskan setiap dua bulan sekali untuk dijadikan platform pelengkap kepada inisiatif program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
-RI





