Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Golongan Muda Diseru Manfaatkan Media Sosial Sebar Perpaduan

By 11 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila/Bashsyar Abdullah (Kedah)

JITRA, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Golongan muda diseru agar memanfaatkan media sosial sebagai medium menyebarkan semangat perpaduan berteraskan nilai-nilai kebangsaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata golongan itu juga perlu menjauhi sebarang bentuk kebencian atau perpecahan yang boleh menggugat keharmonian negara.

Lawatan ke reruai jabatan dan agensi.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini supaya menanamkan rasa cinta kepada negara dalam setiap langkah yang diambil.

“Belajarlah dengan tekun kerana ilmu adalah asas penting untuk mempertahankan kemerdekaan dan memajukan negara. Hargailah keamanan dan kebebasan yang kita kecapi hari ini kerana ia adalah hasil perjuangan generasi terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Kedah di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, di sini semalam.

Majlis berkenaan menjadi pemangkin semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, bagi terus menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan di seluruh negeri.

Ketibaan Fauzi bersama peserta konvoi KMJG 2025.

Fauzi terdahulu melawat pameran pelbagai jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau turut menyantuni pelajar sebelum menyerahkan sumbangan sebuah televisyen pintar 65 inci kepada sekolah serta mengagihkan kit Jalur Gemilang kepada agensi dan jabatan yang terlibat dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Kedah 2025.

-RI

Tinggalkan komen anda