Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Teknologi Nuklear Berpotensi Diteroka di Semua Negeri – Chang Lih Kang

By 11 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Teknologi nuklear mempunyai potensi untuk diteroka di mana-mana negeri di Malaysia, bukan sahaja untuk penjanaan elektrik tetapi juga sektor lain yang menggunakan bahan radioaktif.

Memorandum Persefahaman antara Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan World Institute for Nuclear Security (WINS) diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia, Puan Noraishah Pungut dan Encik Lars Frederik van DASSEN, Pengarah Eksekutif WINS

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pelbagai sektor di negara ini sudah menggunakan bahan radiatif dan memerlukan kawal selia yang rapi bagi memastikan keselamatan serta pematuhan piawaian antarabangsa.

“Kita perlu mengawal selia semua sektor yang menggunakan bahan radiatif. Maka, peluang ini terbuka untuk semua negeri termasuk Johor,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Tahunan Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) Ke-12 di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos itu dianjurkan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),selaku Pengerusi ASEANTOM 2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Dato’ Sri Fadillah Yusof hadir sebagai perasmi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, berkata pelbagai sektor di negara ini menggunakan bahan radiatif yang memerlukan kawal selia rapi demi keselamatan dan pematuhan piawaian antarabangsa

Dalam majlis tersebut, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan World Institute for Nuclear Security (WINS) turut dimeterai bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang keselamatan nuklear.

Chang menegaskan Malaysia melalui MOSTI komited menyokong objektif dan aktiviti ASEANTOM serta akan terus memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan tenaga nuklear.

“Pendekatan yang diambil ASEANTOM selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, khususnya dari segi integriti, keselamatan bersama dan kerjasama serantau berteraskan etika dan keterangkuman, ” katanya.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda