
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya mengagalkan cubaan satu sindiket menyeleweng 46,000 liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM100,000 di Pelabuhan Klang dan Kampung Telok Gong, semalam.

Pihak KPDN Selangor menyita barangan di sebuah stor dan menahan empat individu untuk siasatan selanjutnya.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata operasi pada jam 7 malam itu melibatkan 20 anggota, termasuk daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hasil risikan selama sebulan yang menyasarkan dua lokasi dipercayai menjadi pusat kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi
“Lokasi pertama di sebuah stesen minyak di Pelabuhan Klang menempatkan sebuah lori kanvas tiga tan yang telah diubah suai dengan dua bekas Intermediate Bulk Container (IBC) dan satu tangki besi segi empat.
“Lori ini dipercayai digunakan untuk membeli diesel dari stesen-stesen minyak sebelum dipindahkan ke stor simpanan bagi penjualan semula secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lokasi kedua di Kampung Telok Gong pula merupakan stor tanpa nombor yang digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi di dalam dua tangki skid, selain dilengkapi peralatan menyedut bahan api keluar masuk.
Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan empat lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua rakyat tempatan serta dua warga asing masing-masing dari Indonesia dan Bangladesh, yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan dan penjaga premis.
‘Turut disita ialah sebuah lori, dua IBC berisi diesel, satu tangki besi segi empat, empat tangki skid dan peralatan pemindahan bahan api dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM130,000.

Sebuah lori turut ditahan disyaki terlibat memindahkan diesel bersubsidi.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20(1) kerana menyimpan barang kawalan di premis tidak berlesen, Seksyen 21 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” jelasnya.
Mohd Zuhairi memberi amaran tegas bahawa individu atau syarikat yang melanggar undang-undang boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi individu atau RM2 juta bagi syarikat, serta penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
-RI






