Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Silat Bina Disiplin, Bendung Buli, Gilap Bakat Dunia

By 12 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran/Amirul Amran

KEMAMAN, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Seni silat bukan sekadar warisan bangsa, tetapi benteng kukuh menangkis budaya buli di sekolah.

Program Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat, peringkat Negeri Terengganu di DSR Castle Kemaman

Pengerusi program Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) merangkap Setiausaha Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Bibi Aisyah Golbal Shah menegaskan gelanggang silat mengajar pelajar erti hormat, setiakawan, keberanian dan nilai murni.

“Silat bukan sahaja seni mempertahankan diri, tetapi pembentuk sahsiah yang mampu mengurangkan insiden buli. Pertandingan di pelbagai peringkat membuka ruang kepada bakat muda untuk ke pentas dunia,” katanya pada Malam Silaturahim 1S1S peringkat Negeri Terengganu dan peluncuran Pewaris Silat Malaysia, di sini semalam.

Program 1S1S yang kini memasuki tahun kelapan menjadi medan penyatuan pelatih, guru dan penggiat silat dari pelbagai latar belakang terus membuktikan keberkesanannya dalam membentuk disiplin pelajar sambil melahirkan atlet berpotensi mengharumkan nama negara.

Majlis turut dihadiri Presiden PESAKA Datuk Wira Megat Zulkarnain Omar Din, Pengerusi Persatuan Pewaris Silat Malaysia Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin serta Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Abdul Razak Muda.

Antara pesilat yang menyertai Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat peringkat Negeri Terengganu serta Peluncuran Pewaris Silat Malaysia.

Sementara itu, Abdul Razak menyeru lebih banyak sekolah memperkenalkan silat sebagai wadah memelihara warisan budaya, sambil membentuk karakter pelajar yang unggul.

Dengan semangat yang terus menyala, 1S1S diyakini akan terus memartabatkan silat dan melahirkan generasi muda berdisiplin, berwibawa, serta mampu menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda