
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal (Gua Musang)
GUA MUSANG, 14 Ogos (MalaysiaAktif) – Jambatan Clementi yang dibina sekitar akhir abad ke-19 oleh pihak British kekal kukuh walaupun telah berusia lebih 80 tahun.
Struktur bersejarah ini pada asalnya dibina bagi menghubungkan laluan Tumpat–Gemas serta memudahkan pentadbiran kolonial di kawasan pedalaman, termasuk Gua Musang.

Adik Mohd Danish bersama krew Malaysia Aktif di Jambatan Clementi.
Ketua Komuniti MADANI Limau Kasturi Mohamad Hanafiah Ibrahim berkata Jambatan Clementi kaya dengan nilai sejarah dan telah menjadi nadi penghubung antara dua kampung pedalaman.
“Jambatan kereta api ini dibina pada zaman penjajahan Inggeris, menghubungkan Kampung Bertam Baru dan Kampung Bertam Lama merentasi Sungai Nenggiri di Gua Musang, ketika belum wujud laluan jalan raya alternatif.
“Struktur lama tetap menjadi simbol warisan, namun kehadiran infrastruktur baharu kini menjadi pemangkin pembangunan serta akses yang lebih inklusif untuk masyarakat setempat,” katanya kepada MalaysiaAktif, baru-baru ini.
Jambatan itu dipercayai dinamakan sempena Sir Cecil Clementi, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dari 1929 hingga 1934, yang namanya diberikan kepada jambatan kereta api di Bertam kerana dibina pada era pentadbirannya
Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Bertam Mohd Danish Shadwan Mohd Sapain, 12, berkata jambatan berkenaan unik dari segi struktur dan kekal utuh walaupun berusia puluhan tahun.

Landasan yang menghubungkan Bertam Baru dan Bertam Lama.
“Ini merupakan laluan saya setiap hari ke sekolah dan saya terpegun dengan pembinaannya. Saya berharap jambatan ini akan terus kekal sebagai warisan bersejarah untuk generasi akan datang,” katanya.
Jambatan Clementi bukan sekadar struktur besi lama, tetapi peninggalan kolonial yang membuktikan kepentingan Gua Musang dalam rangkaian ekonomi British di Tanah Melayu.
Walaupun kini fungsinya telah diambil alih oleh jambatan konkrit moden, ia tetap menjadi sebahagian daripada warisan sejarah pengangkutan negara.
-RI





