BAU, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Permuafakatan semua pihak termasuk penduduk Kampung Sebobok, di sini bersama guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sebobok dalam program Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 menterjemahkan semangat patriotisme tanpa mengira peringkat umur mereka yang terlibat.
Suasana meriah penuh patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang dan lagu Negaraku di Dewan Kampung Sebobok.
Jalur Gemilang berkibar dengan megah di kampung tersebut semalam dalam program yang turut menekankan penghayatan Rukun Negara, rasa hormat kepada Jalur Gemilang dan lagu Negaraku itu.
“Kami penduduk Kampung Sebobok tanpa mengira latar belakang, jantina dan umur telah menonjolkan semangat patriotisme melalui aktiviti kibarkan Jalur Gemilang, dan kita juga telah menjayakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG),” kata Ketua Komuniti MADANI Kampung Sebobok Avidin Nilos, 49, dalam ucapannya.
Penduduk Kampung Sebobok menjayakan inisiatif 1R1JG sempena Program JIWA@Komuniti MADANI Kampung Sebobok Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Menurut Avidin lagi, aktiviti tersebut bukan sahaja membabitkan kerjasama golongan dewasa tetapi juga melibatkan pelajar SK Sebobok yang sememangnya perlu dipupuk dengan semangat patriotisme terutamanya menghormati Jalur Gemilang dari usia muda lagi.
“Kita lihat ketika ini banyak Jalur Gemilang yang melambangkan kebanggaan negara, perpaduan serta kesatuan seluruh rakyat Malaysia telah berkibar di sini,” katanya.
Sumardi menyampaikan ceramah inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa yang merupakan antara pengisian program.
Guru Besar, Valentine Roland Thua yang memberikan sokongan penuh terhadap penglibatan pelajar sekolah dalam program tersebut turut menyatakan penghargaan atas kolaborasi antara Pejabat Penerangan Daerah Bau, Komuniti MADANI Kampung Sebobok dan SK Sebobok.
“Terima kasih kerana melibatkan sekolah ini dalam program sebegini kerana secara tidak langsung memberi impak positif kepada pelajar terutamanya menerapkan rasa hormat dan setia kepada Jalur Gemilang,” katanya.
Berita SebelumnyaLebih 200,000 Usahawan dan Koperasi Terima Bantuan RM3.59 Bilioh Setakat Jun 2025
Berita SeterusnyaKKDW Perkukuh Agenda Pembangunan Luar Bandar Menerusi Penubuhan Rasmi HLC Pembangunan Desa, Bincang Dasar dan Pelaksanaan Pembangunan Desa