
Laporan/foto: Mohammad Abd Rahman (Sarawak)
LIMBANG, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Limbang diserikan dengan tarian lincah penari cilik daripada kaum Bisaya yang menarikan tarian Anchayau di Dewan Kebudayaan Bisaya Sarawak Batu Danau, di sini semalam.

Lenkee memalu gendang Bisaya semasa persembahan tarian Anchayau.
Menurut Ketua Cawangan Persatuan Bisaya Sarawak Kampung Limpasung dan Ulu Baloi Lenkee Yatak, 60, asalnya tarian Anchayau dipersembahkan bagi menyambut wira Bisaya setelah pulang dari berperang suatu ketika dahulu.
“Gerak tari Anchayau ini digayakan dengan props menggunakan lembing dan perisai melambangkan kegagahan wira kaum Bisaya, diiringi paluan gong dan gendang tetapi kini disesuaikan mengikut peredaran zaman,” ujar Lenkee yang turut terlibat memalu gong dalam persembahan tersebut.

Paluan Gong Penganak dan Pengindu, muzik tradisional kaum Bisaya.
Beliau yang telah 15 tahun berkecimpung dalam bidang kesenian menjelaskan selain tarian Anchayau, tarian Alai Anding juga dipersembahkan melalui paluan Gendang Dumpak yang diperbuat dari kulit kerbau.
“Pemain Dumpak adalah ketua kepada pemain instrumen muzik tradisi Bisaya di sini, diiringi pemain Karimping iaitu gong kecil.
“Seterusnya dua pemain memainkan Gong Penganak, Gong Pengindu dan Tawak manakala seorang lagi pemain memainkan Kulintangan,” jelasnya lagi.

Wanita suku kaum Bisaya di Batu Danau, Limbang.
Tambah Lenkee, seni tarian lain seperti tarian Kumpas dan instrumen muzik tradisi suku kaum Bisaya turut dimainkan bagi upacara lain misalnya untuk tujuan perubatan tradisional pada zaman dahulu.
Program sambutan ketibaan konvoi KMJG dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Residen Limbang Adanan Mat Jaman dan Ketua Konvoi KMJG Rozilawati Nor Aziz.
-RJ-






