
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Jabatan Penyiaran Labuan
LABUAN, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Aspirasi Malaysia anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia Labuan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di pulau itu.

Horwad (paling kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Financial Park Labuan serta Bataras Superstore.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Horwad Martin Kim Sung@Cornelius penganjuran program itu adalah salah satu peranan Jabatan kerajaan yang menyampaikan maklumat dan hasrat kerajaan dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.
“Ia juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat sebagai pemangkin agar setiap warga Labuan sehingga ke akar umbi tetap memperingati peristiwa bersejarah Negara dalam mencapai kemerdekaan.

Persembahan deklamasi puisi yang menyentuh jiwa.
“Sambutan ini bukan sekadar memperingati detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan, tetapi juga satu peluang untuk kita menghayati nilai-nilai yang menjadi asas pembentukan negara, perpaduan, semangat berpasukan, tolak ansur dan kerjasama,” katanya semasa merasmikan program itu, di sini pagi semalam.
Antara pengisian program itu adalah Explorace, Senam Sihat dan persembahan deklamasi puisi yang turut mendapat kerjasama Financial Park Labuan serta Bataras Superstore.
-RI





