Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pengorbanan Ahli PENERANG Diiktiraf, Jasa Mereka Wajar Dihargai

By 16 Ogos 2025Ogos 18th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Penghargaan wajar diberikan kepada ahli Persatuan Bekas Anggota Jabatan Penerangan Negeri Sarawak (PENERANG) mengambil kira jasa dan pengorbanan mereka ketika berkhidmat dengan jabatan Penerangan suatu ketika dahulu.

Abdul Aziz menyampaikan ucapan perasmian penutupan Mesyuarat Agung Tahunan PENERANG 2025.

Ketika berucap merasmikan Penutupan Mesyuarat Agung ke-3 Persatuan Bekas Anggota Jabatan Penerangan Negeri Sarawak (PENERANG), Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Draup, berkata penghargaan harus diberikan terutamanya bagi mereka pesara jabatan yang dahulunya pernah melalui pelbagai situasi dan peristiwa termasuk era sebelum kemerdekaan demi menjalankan tanggungjawab menyampaikan pelbagai maklumat kerajaan kepada rakyat.

“Kita imbas kembali peranan penting bekas anggota jabatan yang menempuh perjalanan jauh meredah sungai, bukit bukau malah terlibat dalam operasi bersama pasukan keselamatan semasa era insurgensi komunis di Sarawak bagi menyampaikan maklumat secara komunikasi bersemuka kepada rakyat ketika itu.

Foto berkumpulan ahli PENERANG yang hadir pada mesyuarat agung tahunan kelmarin.

“Sehubungan itu, saya akan mengemukakan perjuangan dan pengorbanan anggota PENERANG kepada Premier Sarawak agar khidmat anda semua diiktiraf dan saya juga menyarankan PENERANG dapat membantu menjejaki anggota yang pernah berkhidmat pada tahun 1950 sehingga 1990,” Abdul Aziz berkata demikian dalam ucapan perasmian penutupan, di sini kelmarin.

Tambah beliau lagi, PENERANG harus menjadikan mesyuarat sebagai wadah untuk semua ahli berkongsi pandangan dan membuat keputusan demi kebaikan dan kebajikan ahli persatuan.

Bujang Boji menyampaikan ucapan aluan.

Sementara itu, Pengerusi PENERANG Bujang Boji Sitam, 79, berharap PENERANG dapat terus berkolaberasi dengan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak melaksanakan program dan aktiviti dari semasa ke semasa.

Mesyuarat agung PENERANG kali ini masih mengekalkan barisan Exco Sesi 2023–2025, sekali gus membuktikan kepercayaan penuh ahli terhadap kepimpinan sedia ada untuk mentadbir persatuan berlandaskan perlembagaan serta moto Setiakawan, Prihatin dan Harmoni.

-RJ-

Tinggalkan komen anda