
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri Selangor memperkenalkan dua inisiatif kesihatan awam iaitu Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) serta Selangor Sihat dan Gaya Hidup Sihat (SLIM) bagi menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyatnya.

Jamaliah bertanyakan sesuatu kepada petugas reruai Pejabat Kesihatan Daerah Gombak sempena Program ASAS dan SLIM.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata kedua-dua program itu menumpu kepada aspek pencegahan dengan penekanan terhadap senaman, pemakanan seimbang dan saringan kesihatan.
Katanya, walaupun kesihatan awam berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Selangor turut melaksanakan inisiatif sendiri demi kesejahteraan rakyat.
“ASAS memberi fokus kepada pembentukan gaya hidup sihat sejak kecil, manakala SLIM ditumpukan kepada golongan dewasa termasuk ibu bapa,” katanya kepada media selepas meninjau Program ASAS dan SLIM di Pangsapuri Puteri Laksamana, di sini semalam.

Kelihatan orang ramai yang hadir sedang mendapatkan maklumat di reruai yang disediakan pelbagai agensi yang mengambil bahagian.
Menurutnya, program SLIM sebelum ini hanya melibatkan penjawat awam kini diperluas kepada masyarakat dengan pelbagai aktiviti seperti senaman aerobik dan zumba, ceramah pemakanan sihat serta saringan kesihatan asas.
Jamaliah berkat program memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai cara penyediaan makanan sihat yang mudah dan berkhasiat.
“Ia sekali gus dapat menangani isu kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak termasuk daripada keluarga berpendapatan sederhana.
“Melalui pendekatan ini, kita berharap dapat mengurangkan bilangan rakyat Selangor yang memerlukan rawatan dengan menekankan usaha pencegahan sejak awal,” katanya.
-RI





