
Laporan/foto: Mohd Rizal Abdul Rahman (Kulim)
KULIM, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Kulim menjelajahi beberapa lokasi terpilih termasuk Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi serta Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Nagalilit sebelum kembali ke Dataran Niaga Pekan Kulim, hari ini.

Bacaan doa sebelum acara pelepasan konvoi oleh Pegawai Daerah Kulim.
Program sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 itu berlangsung penuh meriah dengan acara pelepasan oleh Pegawai Daerah Kulim Mohamad Rizal Mohamad Radzi.
Menurut seorang peserta program, Mohd Aizat Ismail, 36, konvoi seumpama itu wajar dianjurkan setiap tahun kerana mampu membangkitkan semangat cintakan negara menjelang bulan kemerdekaan.

Konvoi berhenti di checkpoint Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kulim.
“Saya berharap agar program-program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Penganjuran kempen itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat, malah turut menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menghargai erti kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, sekolah, premis perniagaan dan kawasan awam.
-RI





